Assalamualaikum & Salam Sejahtera,
Terbit satu artikel di sebuah akhbar mengenai pertumbuhan pesat akan jumlah laman-laman blog baru di internet. Ianya umpama seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kewujudannya sehingga tidak boleh dikawal dan seumpama kadar kelahiran di dunia. Tapi bagaimana pula kadar terkuburnya dan kurang aktif laman-laman blog, adakah sama dengan kadar kematian di dunia?? Catatan statistik yang terpapar menunjukkan bahawa laman-laman blog ini menjadi satu fokus media bebas yang mengutarakan pelbagai informasi berbagai bentuk maklumat seperti politik, komunikasi, teknologi, hiburan, isu semasa, percintaan, sastera dan sebagainya. Angka 120,000 blog baru telah wujud bagi setiap hari atau 1.4 blog sesaat. Wow…satu angka yang memberangsangkan.
Apakah sebenarnya petunjuk atau indikator yang ingin diberitahu atas kelimpahan dan kebanjiran laman-laman blog baru ini. Adakah limpahan ini sekadar menyesuaikan trend baru yang terhangat di pasaran kini? Melihat dan memahami perspektif kehendak dan keperluan manusia dalam memberi dan mencari bahan bacaan atau informasi yang baru dengan cepat. Suatu arus perubahan dalam media yang sihat harus diperkembangkan insitusinya sebagai media alternatif. Ianya memperluaskan sayap dalam gerbang media dan komunikasi. Media bebas dikatakan kian popluar dan menarik perhatian ramai atas beberapa sebab:-
-
Landasan baru bagi idea dan luahan maklumat yang mudah, murah dan berkesan
-
Tanpa ada sekatan yang sukar atau birokasi tetapi pantauan tetap ada jikalau maklumat yang cuba disampaikan memesong dari fakta kebenaran
-
Kepelbagaian bentuk informasi boleh disampaikan
-
Menggalakkan penulis muda untuk berjinak-jinak menceburi bidang penulisan dan penulis kini untuk memperluaskan idea yang bernas
-
Catatan atau laman-laman blog boleh diakses serata dunia dengan cepat dan pantas pada bila-bila masa dan di mana sahaja
-
Paparan laman-laman blog boleh dikreatif dan diinteraktifkan dengan memuat turun gambar, video, teks dan lain-lain dengan percubaan sendiri. Ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran celik IT yang bagus
Jika dilihat statistik lain yang dipaparkan di dalam artikel ialah pengguna internet yang telah meningkat dengan tinggi iaitu pada tahun 2000 ialah 3.7 juta dan kini ialah 13.5 juta. Bukti menunjukkan penduduk Malaysia benar-benar mengetahui betapa peri pentingnya penggunaan internet sebagai sumber maklumat yang tidak boleh dikesampingkan. Lahirlah laman-laman blog dengan penulis-penulis lama atau baru bukan sekadar untuk memeriahkan tetapi kemampuan untuk memaksimumkan teknologi bergandingan dengan idea bahasa tulisan. Beberapa persoalan timbul untuk kita fikir sejenak..
-
Apakah kategori yang sering dan hangat ditulis dan dibahaskan?
-
Adakah penulis laman-laman blog ini sekadar mengisi masa lapang atau boleh memberi pendapatan sambilan?
-
Bagaimanakah laman-laman blog ini boleh dijadikan sebagai satu jaringan atau rangkaian sesama “blogger” lain dengan berkesan dan mencapai matlamat
-
Apakah jurang dan jenis penulisan antara “blogger” baru dan lama dan yang tua dan muda
Laman-laman blog ini bertindak seperti kain kanvas putih yang dapat melakarkan berbagai warna-warna dan corak atas butiran luahan perasaan seseorang ”blogger” kata Jiwarasa penulis blog. Ianya lahir dari benak fikiran seseorang itu untuk memberi pandangan, persepsi, spekulasi, diskusi, komen dan kritikan atas sesuatu isu dan bahan idea yang ingin diketengahkan. Asli atau palsu tulisan itu, rekaan atau benar idea itu bukan persoalan mutlak. Pokoknya ialah setiap para penulis blog itu seharusnya bertanggungjawab tentang apa yang ingin ditulis bersandarkan etika seorang penulis dan menghormati hasil tulisan penulis asal. Cedukan bulat-bulat harus dijauhi dan mesti berprinsip perasaan bagaimana hasil tulisan anda diceduk tanpa sebarang penghargaan. Perit jerih, hempas pulas buah fikiran anda atau orang lain bagi melahirkan sesuatu yang bermutu telah dicuri tanpa rasa bersalah.
Laman-laman blog ini sangat hebat diperkatakan semasa pasca pilihanraya baru-baru ini. Terdapat pendapat yang menyebut bahawa pengaruh laman-laman blog ini mampu membuat satu peralihan yang drastik dan berkesan. Memahami perspektif penulis yang sarat dengan idea dan informasi untuk disalurkan ke masyarakat dan merenung kehendak para pembaca yang dahagakan bermacam maklumat sebagai kongsian bersama. Persoalan yang timbul dan kenyataan kebanyakan para ahli parti politik dan penganalisa politik menyebut bahawa pihak pembangkang mendominasi penggunaan media bebas ini untuk mempengaruhi dan meraih simpati para pembaca dan pengundi.
Pihak pembangkang dikatakan cuba membuat berbagai provokasi melalui media baru ini untuk mengutarakan isu-isu politik dengan lantang sebagai jambatan penghubung dalam antara pihak parti politik dengan masyarakat. Itu dilihat secara kasar tetapi jika diteliti dan dihalusi, media arus perdana elektronik ataupun cetak di negara ini, hanya berpihak kepada parti pemerintah sahaja. Jadi, apakah alternatif lain yang terbaik mampu dieksplotasi dan dimaksimakan sebaik mungkin oleh pihak pembangkang dalam menyampaikan idealogi, perjuangan, visi dan misi parti kepada masyakarat dengan cepat, mudah dan pantas dalam dunia serba serbi berteknologi tinggi dan pesat. Di wadah manakah harus mereka guna dan tujui? Kebanyakan berita di arus perdana hanya memaparkan dan mengembar gembur kejayaan pihak parti pemerintah tanpa ada cacat cela. Walhal ada banyak yang berlaku hingga terbit ketidak ketelusan dan kesangsian dalam pemerintahan yang membawa ketidakpuasan dan kemarahan. Ianya mendesak para pembaca untuk mencari dan menyelidiki situasi sebenar apa yang berlaku.
Tetapi, bolehkah situasi pihak pembangkang untuk mengadakan sendiri satu saluran TV dan radio untuk menyalurkan berita mereka?..sudah tentu ianya tak akan berlaku kerana saluran tersebut merupakan jalan untuk propaganda yang mustahak dan terpenting. Jadi tak mungkin mimpi akan direalisasikan untuk parti pembangkang. Akhirnya, laman-laman blog yang menyediakan tapak-tapak percuma seperti blogspot, wordpress, yahoo dan banyak lagi sebagai perumpamaan pucuk di cita ulam mendatang.
Selain daripada itu, artikel ini juga menyebut tentang penggunaan bahasa yang digunakan. Seorang ahli panel diskusi anjuran DBP dalam seminar iaitu Nisah Haron menyeru “blogger” untuk menulis dalam bahasa Malaysia. Satu seruan yang murni untuk menggalak dan memertabatkan bahasa kebangsaan kita sendiri. Kalau bukan kita sendiri yang memulakan siapa lagi harus kita dorong. Bahasa jiwa bangsa. Namun, bagi mereka yang sukar dan payah atas limitasi kemampuan untuk melahirkan idea dalam bahasa kebangsaan, apakan daya. Yang penting, usaha harus diteruskan. Bahan dan idea yang bernas dan cukup untuk menjana dan mencanai permikiran manusia ke arah yang lebih baik itu yang penting. Ekspresi diri kepada para pembaca.
Lebih daripada itu, “blogger” juga harus bertanggungjawab dan mampu untuk menghadapi sebarang kritikan dan komen jika diajukan soalan. Laman-laman blog yang membenarkan diskusi diharap dapat memberi maklum balas yang rasional tanpa emosi. Takut-takut nanti akan membantutkan lebih banyak idea bernas di masa hadapan. Setiap pandangan dan komen itu haruslah dihormati.
Bagai menyeru “blogger” sebelum, kini dan masa depan untuk lebih aktif menulis. Berkarya untuk mencetuskan dan mengembangkan idea baru dalam bentuk perkara-perkara yang baik dan bukan sebaliknya. Mengadu domba, mengutus maklumat terpesong dan menghura-hara pemikiran masyarakat tentang hasil tulisan yang salah haruslah ditolak dan diketepikan. Bahan bacaan yang baik akan menyuburkan jiwa yang suci untuk menyihat minda yang sihat.
Signifikasi pengaruh media baru sangat hebat sebagai peralihan mengikut kepesatan dan gasakan teknologi yang berubah tanpa kita sedar. Di samping luapan perasaan manusia yang terlalu inginkan sesuatu yang baru dan terkini berada di hujung jari. Sesungguhnya ianya membuka minda dan menjelajah jauh daya fikiran untuk lebih kritis dan kreatif dalam memikirkan sesuatu persoalan. Terjahan yang berkualiti, persepsi yang rasional, spekulasi yang memberi kebenaran, andaian tanpa emosi menggunung dan kesimpulan yang bermakna.
Kini, “blogger” dan laman-laman blog umpama melodi dan lirik yang tidak boleh dipisahkan. Merdunya melodi mengkhayalkan seperti pasangan bercinta di kala mula-mula bertemu dan indahnya lirik mengasyikan pula adalah mengenai cerita-cerita pasangan-pasangan itu. Justeru itu, “blogger” seperti melodi yang bertemu kasih dengan laman-laman blog yang dapat meluahkan cerita-cerita dengan penuh “passionate” bagi tatapan bersama.