Assalamualaikum & salam sejahtera,
Suasana pagi yang indah kini telah tiba. Matahari menjalankan tugasnya di pagi itu. Memancarkan sinaran cahaya matahari tanpa perlu merungut dan membebel serta menanya-nanyakan kenapa pagi ini harus panas yang berkhidmat. Bukan awan yang kelam berarak mendung. Bukan hujan yang menurunkan dan melimpahkan air dari langit. Tiada lagaan petir sabung menyambung memulakan tugas di awal pagi hari. Itulah anugerah kejadiaanNYA dan sememang cukup sempurna kenapa hari itu harus panas atau hujan. Tidak perlu mendengar sebarang rungutan atau arahan dari sesiapapun. Bagi yang sepatutnya menunaikan apa yang diarahkan, itulah rasa amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan walaupun diri terpaksa atau tidak suka. Ianya menuntut diri untuk memegang janji-janji yang perlu ditunaikan.
Mungkin ianya memberi musibah kalau hujan menimpa. Bakal membantutkan perjalanan anda ke tempat kerja, tapi alasan pada mereka yang lain ialah hujan memberi rahmat bagi pokok-pokok serta tanam-tanaman untuk terus hidup subur menghijau. Itulah imbangan yang sangat tara. Jika bukan untuk anda hari itu tapi mungkin untuk mahluk lain ciptaan Allah yang maha esa berhak mengecapi nikmat dariNYA. Rahmat anugerah yang terbaik dan terunggul untuk umatNYA di alam semesta ini dari pencipta yang Agung.
Begitu juga kehidupan manusia penuh dengan pelbagai cerita dan ragam. Berbagai warna-warna, alunan corak, susunan pengalaman kejadian serta peristiwa yang dilalui dan tempohi. Suka & duka, gembira & sedih, manis & masam, hitam & putih, bintang & bulan, siang & malam, setia & dusta, dingin & hangat, ghairah & gundah, pujian & hinaan, kuat & lemah, jelas & samar, lazim & jarang dan sebagainya bercampur aduk menjadi sebahagian daripada rencana kehidupan yang sempurna atau sebaliknya. Sehingga mengasyikan diri indah melayang tinggi di langit terawang-awang ringan dan berbunga-bunga. Namun ada yang tersungkur menahan musibah keperitan hidup. Pepatah mengatakan manusia adalah pelakon-pelakon hebat di layar dunia ini. Berbagai watak hero, heroin, antagonis, patoganis, sampingan dan sebagainya. Daripada satu bab ke episod seterusnya. Pernah tak berdetik dalam hati, bila sesuatu perkara itu berlaku, kita terus berkata, hey… macam pernah aku terfikir dan macam pernah hadir atau akan hadir dalam mimpi?
Mengapakah jika gembira hadir masa berlalu dengan pantas, cepat sekali tapi sebaliknya bila sedih mengundang, lambatnya masa bergerak. Mungkin teorinya ialah jangan terlalu leka dalam menyambut kegembiraan atau mempelajari setiap detik kesedihan itu dengan penuh keinsafan agar tidak berlaku lagi. Itulah adat catatan kehidupan manusia bagaikan corak di sehelai gebar tampalan. Di atasnya petak-petak untuk memuatkan cerita-cerita dalam perjalanan hidup yang dilalui setiap hari. Pilihan warnanya yang penuh ceria dan menyegarkan, susunan motifnya yang kaya dengan penceritaan seakan-akan melengkap perjalanan sesebuah kehidupan.
Dalam dunia ini, ramai orang ingat mereka tahu semua dan banyak perkara tetapi realitinya mereka ialah insan-insan yang inginkan diberitahu dan diperingatkan selalu. Bukan diberitahu dalam situasi arahan tetapi dalam bentuk motivasi dan dorongan. Mampukah manusia untuk bertindak sedemikian?. Kebanyakan daripada kita lebih suka mengarah supaya apa yang diinginkan atau mengharapkan terlaksana dan berjaya.
Apabila manusia berada di dalam saat dan ketika atau jangkamasa yang dirundung malang dan sedih… mampukah kita membantu dan menolong mereka?. Adakah tindakan kita hanya ingin berada di samping mereka hanya ketika senang dan gembira sahaja?. Jika yang menimpa musibah atau dugaan, barulah kita tahu siapa kawan atau lawan. Mereka yang mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi. Memberi dorongan untuk kita mampu berdiri kembali. Kawan senang dan susah, tawa dan nangis.
Pernahkah anda berdepan dengan situasi kata-kata “jangan buat aku marah”, adakah itu amaran untuk meredakan situasi dalam bentuk ugutan. Hanya kita sahaja perlu tidak menaikkan marah dia. Tanpa melihat kenapa suasana marah itu timbul. Bagaimana perasaan kita pula… mungkin timbul rasa marah adalah sebab dia juga. Tetapi jika tiada perasaan kompromi atau tolenrasi yang sebenarnya, suatu hubungan itu tidak mampu untuk bertahan lama. Ego dan degil dari kedua-dua pihak harus dikendurkan. Kata-kata maaf dimohon…atas kesilapan dan kesalahan yang tidak disengajakan. Mampukah kita menerima maaf itu…
Hanya kepada Allah yang maha esa dengan menunai dan menjalankan suruhanNYA, mengingati talian hayat yang wajib “24434″ usah kita lupai dan jadilah pegangan yang sebenarnya. Apa yang perlu kita lakukan ialah memohon sujud keampunan dan ketetapan iman dalam liku-liku kehidupan yang boleh menghayutkan….
p/s : Perlukan khidmat menaip & kesetiausahaan??. Perkhidmatan yang disediakan seperti menaip laporan, buku, minit mesyuarat, pencari maklumat, kemasukan data dalam SPSS dan sebagainya. Sila email ke nurul_ameerah@yahoo.com untuk keterangan lanjut.