Assalamualaikum & salam sejahtera,
Yuppp… its every year on 11 May… Happy Mother’s Day. Hari Ibu Sedunia. Tribute untuk semua ibu-ibu. Walau apa sekalipun gelaran yang dipanggil “ibu, emak, mummy, mama, umi dan mom” itu adalah gelaran kata ganti nama untuk wanita-wanita yang melahirkan kita di dunia. Mereka adalah insan yang cukup istimewa dan mulia hatinya. Manusia adalah anugerah daripada maha pencipta yang Esa dan melalui ibulah..kita semua mampu untuk melihat dunia yang serba indah penuh penceritaan.
Melalui benih kedua-dua ibubapa yang lahir dari perasaan kasih sayang telah bermulalah kehidupan dari setitik darah menjadi janin di dalam kandungan sehingga menjadi bayi yang sungguh comel dan sempurna. Kehidupan di dalam kandungan yang penuh keajaiban. 9 bulan 10 hari atau lebih kurang 40 minggu usia seorang bayi hidup di dalam perut seorang ibu. Bagaimana perit, susah, senang, gembira, teruja, tekanan dan sebagainya, bagi seorang ibu membawa perut yang terboyot-boyot dengan penuh kasih sayang tanpa menghiraukan samada bentuk badan akan kembali menjadi asal, burukkah rupa diri, kesakitan dan kepenatan. Tidak…. Tidak sedikit berdetik dalam hati. Yang ada ialah perasaan pemilikan yang sungguh tinggi. Tanpa menghiraukan apa yang menganggu. Tanpa memperdulikan dugaan atau masalah serta alahan. Tanpa mengendahkan kesakitan. Yang ada di hati nurani setiap ibu ialah keselamatan kandungan. Akan aku jaga, akan aku belai penuh kasih sayang, akan aku pastikan ianya sihat.
Bukan sahaja di dalam kandungan tetapi sehingga terlahirlah ia di dunia. Dari usia bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan sehingga seorang ibu mampu untuk melihat anak-anak membesar sampai akhir hayatnya. Kudrat yang sungguh ajaib tanpa perlu mengeluh dan nilai pengorbanan sangat tinggi di setiap masa. Kasih sayang yang tiada bersyarat, pelukan dan jagaan yang penuh kecurahan. Hanya keikhlasan dan ketulusan hati menyelubungi di hati sanubari yang tidak berbelah bagi atas amanah dan tanggungjawab.
Hanya DIA yang mampu membalas segala pengorbanan mu IBUku dan ucapan terima kasih tak terhingga untuk suatu ikatan sepanjang hayat yang sungguh istimewa dan bermakna ini.
