Archive for June 30th, 2008

Emas Hitam (Bhg 3)

June 30, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Sudah redakah rungutan dan rasa ketidakpuasan hati rakyat Malaysia terhadap kenaikan harga minyak baru-baru ini. Penangan dan kegawatan ini hanya melalui “tempoh penyesuaian”??. Nanti-nanti, kembali macam biasa hati dan fikiran rakyat Malaysia. Sama seperti scenario dulu kenaikan harga minyak. Rakyat menerima dengan hati terbuka. Hanya merungut dalam diam. Samada 10 sen, 20 sen atau 78 sen. Lepas ini kalau naik 1.30 sen hingga RM4 seliter pun tak kisah. Kerajaan dah berjaya melepasi  waktu genting dalam tempoh penyesuaian. Mampu memastikan rakyat menerima dalam terpaksa.

Sudah bersediakan Malaysia untuk tidak bergantung lagi dengan sumber asli yang ada di negara kita. Sumber galian dan tanaman seperti kelapa sawit, getah, koko dan sebagainya. Sememangnya kita amat bergantung pada pertanian dan minyak mentah serta gas. Jika sumber asli ini semakin susut dan tidak lagi menjadi komoditi eksport utama sebagai perolehan negara, apakah lagi jalan terdekat persediaan negara?. Sudah mampukah negara untuk menjadi seperti negara Singapura? Negara yang sering kita buat perbandingan harga petrol yang dikatakan jauh lebih tinggi dari negara kita. Bolehkah Malaysia menjadi negara yang hanya bergantung pada sumber dan sektor perkhidmatan sebagai perolehan negara. Ianya ternyata menjadi negara itu kaya dan maju. Ohhh…nanti ada suara-suara mengatakan, negara Singapura kecil dan bentuk geografinya yang lain. Tidak boleh buat perbandingan ekonomi begitu. Jadi, ianya satu perbandingan yang tidak tara. Justeru, kerajaan seharusnya tidak membuat perbandingan kenaikan harga petrol dengan negara yang tidak setara seperti Malaysia sebagai pengeluar petrol dengan negara yang bukan. Epal dengan epal, oren dengan oren bukannya epal dengan oren. Nanti, hasil intepretasinya yang tersasar.

Saranan demi saranan dikemukakan oleh kerajaan kepada rakyat dalam mencari jalan alternatif bagi mengurangkan bebanan akibat kenaikan harga petrol, barangan dan perkhidmatan. Kebergantungan dan kesan kemelaratannya amat signifikan. Yang pastinya kesan sosial adalah tindakbalas refleks yang menjadi isu utama. Adakah jaminan daripada mana-mana pihak untuk memastikan tiadanya kesan sosial yang negatif dalam kenaikan harga petrol ini. Yang mampu aku lihat ialah mungkin harga motosikal yang akan naik dan mungkin kecurian motosikal juga akan meningkat.

Bagaimana pula kesan emosi dan tekanan perasaan bebanan hutang puitang rakyat yang terkena tempias kenaikan harga petrol akibat kegagalan dalam perniagaan, sumber wang yang sempit tapi perbelanjaan yang besar dan sebagainya. Kes-kes tekanan perasaan, kemurungan, membunuh diri dan ada yang terhimpit hingga memberi racun kepada anak-anak mereka akibat desakan hidup. Adakah itu semua kes-kes terpencil yang tiada kena mengena dengan tempias kenaikan harga minyak, barangan dan perkhidmatan.

Ada pemikiran jahat mengatakan bahawa kenaikan harga petrol adalah kesan kepada rakyat kerana gagal untuk memilih parti Barisan Nasional untuk memerintah secara total sehingga melayakan parti lawan sebelum ini dalam laluan suara pencaturan arena politik. Manakala ada juga yang mengatakan imbuhan besar sebelum ini diberikan kepada kakitangan kerajaan merupakan pemberian awalan terima kasih dan kini, kerajaan ingin meminta kembali atas pemberian tersebut. Itu semua adalah spekulasi dan terjahan yang mungkin terpesong dan mencari kebenaran. Rebet dan pemberian ganjaran sebanyak Rm150 – Rm650 sudah mampu untuk “menangani” kekeruhan situasi, “menenangi” fikiran  atau “memenangi” kembali hati rakyat Malaysia.

Dalam mengejar arus kehidupan yang diidamkan pada zaman moden dan serba canggih ini, kesan harus diterima bagi mendapatkan kepuasan yang semaksimum. Inilah “harga” yang terpaksa dibayar oleh rakyat dalam mengecapi sebuah kehidupan atas nama pembangunan kemajuan dan ketamadunan. Gelombang politik yang keruh dan ketidaktentuan ekonomi dunia menjadi agenda utama dan kesan secara terus kepada rakyat kini.