Assalamualaikum & salam sejahtera,
Scenario dunia kepolitikan Malaysia dilihat kian keruh dan ketidakstabilan menyelubungi. Berbagai peristiwa, khabar berita, spekulasi, persepsi dan sebagainya telah disensasikan kebenarannya. Sehingga RAKYAT terkena tempias yang hebat sekali. Beginikah kesan dan kehendak para pemimpin dan jenteranya??. RAKYAT mencari-cari kebenaran dari berbagai sudut dan aspek agar tidak tergelincir daripada landasan ketelusan dan ketulusan. Malah tersepit dan terdesak dalam arus kehidupan dari kesan politik ke ekonomi yang pincang.
Secara mudah, RAKYAT kini membuat andaian bahawa KERAJAAN lemah dari segi kepimpinan dan ketidakstabilan dalam politik, sehingga membawa kurangnya kepercayaan. Rata-rata, melihat tiada petunjuk atau arah yang jelas yang mana RAKYAT sebenarnya inginkan kepimpinan yang kuat dan teguh. Tapi malangnya, ciri-ciri yang patut ada dalam diri seorang pemimpin yang sebenar kabur hingga RAKYAT keliru.
- Yang lemah terus lemah tanpa ingin rasa untuk memperbaiki kelemahan itu
- Yang mengambil kesempatan telah menunggu untuk mencucuk jarum atas ruang dan peluang tersebar menunggu
- Yang mempunyai masalah tanpa ingin mencari solusinya
- Yang tegar mencari kekayaan terus menerus mengaut keuntungan untuk beberapa keturunan generasi akan datang
- Yang ghairah mencipta sejarah terus melakar sejarah untuk tatapan masa hadapan atas kepincangan atau kemegahan
Adakah berita inflasi di takuk 5% – 6% berada di tahap yang biasa atau KERAJAAN tidak mahu menyatakan tahap inflasi sebenarnya kepada RAKYAT supaya tidak berlakunya kekecohan atau kegawatan. Mungkin sebenarnya inflasi berada di tahap 9%. Diri hanya membuat andaian kerana semua barangan dan perkhidmatan telah naik harga. Nilai RM100 telah menjadi RM50 buat masa kini. Itulah yang menyebabkan RAKYAT menjadi marah dan tak keruan.
Isu asas ialah janji KERAJAAN sebelum pilihanraya untuk mengkaji dasar subsidi yang bakal memberi faedah pada mereka yang kurang berkemampuan. Tapi malangnya, selepas pilihanraya, tanpa diduga kajian subsidi telah melompat kehadapan sehingga memberi kejutan mendadak iaitu kenaikan harga minyak yang drastik. Kejutan demi kejutan dan terbitlah kemarahan RAKYAT tanpa dapat dibendung. Jangan salahkan mereka yang menunggu dan menghidu kelemahan ini, sudah tentu ekspoitasi secara semulajadi hadir.
Ada pihak-pihak tertentu dalam agenda mereka untuk mengaut keuntungan, cuba menghuru-hara keadaan, mengadu domba melalui tomahan, mempertikaikan perlembagaan dan hak, isu-isu agama diperkotak-katik serta dipersendakan. Ceramah retorik dan meraih simpati. Hati-hati wahai pemimpin, dalam terlalu inginkan kepercayaan RAKYAT, sanggup menabur janji-janji manis, memberi harapan menggunung dan keyakinan tak berbelah bagi. Tapi, akhirnya semua bagai tong kosong dan omongan palsu. RAKYAT hampa dan terkilan.
Ada ayat-ayat mengatakan bahawa, mudah untuk mengeluarkan apa sahaja bila tidak berada di posisi di dalam sesebuah pentadbiran dan apabila anda berada di lingkungannya, anda sendiri juga akan ikut sama dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dalam kata lain…. mudah nak kata apa saja…. cubalah kalau boleh. Jika mandat dan kuasa telah diberi, itulah mulanya amanah dan tanggungjawab yang harus disegera dan ditunaikan.
Jangan nanti RAKYAT jelak dan muak dengan scenario ini. RAKYAT inginkan jawapan jika pihak KERAJAAN telah dan mempunyai pilihan atau jalan alternatif dalam mengatasi dan menangani masalah yang membelenggu negara. Jikalau, RAKYAT tahu, tentu kepercayaan dan sokongan tanpa berbelah bagi akan berterusan. KERAJAAN harus memikirkan perancangan dan strategi yang terbaik untuk masa hadapan. Krisis yang melanda kini merupakan pertaruhan masa. Ironinya, ianya adalah peluang yang terbaik untuk KERAJAAN dalam membuktikan tanggungjawab kepada RAKYAT. Di sini, cabaran untuk KERAJAAN kerana masa bergerak dan RAKYAT menunggu bagaimana respond daripadanya.
Beritahulah RAKYAT akan fakta dan kebenarannya. Berkongsilah demi ketelusan dan ketulusan. Bersedia dengan kemungkinan yang mendatang serta solusi menerusi pelan tindakan berkesan yang mampu untuk mengatasi. Tentu RAKYAT akan faham dan bersedia berdiri bersama-sama untuk dan dengan KERAJAAN.