Assalamualaikum & salam sejahtera,
“Babel” sebuah cerita yang ditayangkan di Star Movie. Menurut kamus Cambridge – Babel barmaksud “a state of confusion caused by many people talking at the same time or using different languages”. Ceritanya agak berat penuh dengan persoalan minda, kocakan hati dan debaran perasaan yang membawa kepada konflik kekeliruan. Kenapa dan mengapa? Kaitan dari satu babak ke babak yang begitu terperinci walaupun berlangsung selari dan serentak di berlainan benua, negara, ekonomi, sosial, budaya, bahasa dan bangsa. Bagaimana seorang penulis skrip mampu mengkait dan membuat kolerasi watak dengan peristiwa, tempat kejadian, tujuan dalam mencapai maksud dan mesej yang ingin disampaikan. Di samping itu kreativiti pengarah telah menghidupkan peranan menerusi jalan ceritanya.
Sungguh dramatik, tragis dan penuh dengan kesinisan. Cerita bermula di Morocco mengenai seorang lelaki yang telah menjual selaras senapang kepada jirannya untuk kegunaan keselamatan kambing bebiri dari serangan serigala. Senapang itu wujud atas pemberian terima kasih oleh seorang pelancong Jepun kepadanya. Pada suatu hari, pembeli senapang itu telah menyerahkannya kepada anak-anak beliau bagi menjaga kambing bebiri dan atas perasaan ingin tahu yang mengatakan peluru senapang ini boleh mensasarkan pada kejauhan 3 km, maka kanak-kanak tersebut telah menembak secara rambang jauh dari gunung. Datang sebuah bas, sarat dengan pelancong barat sedang melalui kawasan pergunungan tersebut. Tanpa berfikiran jauh, adik-beradik ini telah melepaskan tembakan ke arah bas tersebut yang pada fikiran mereka tidak akan kena kerana jauh kedudukan.
Tanpa diduga, seorang pelancong di dalam bas tersebut yang sedang tidur, terkena tembakan. Lantas berlakulah situasi kelam kabut dan tidak keruan. Cuba mencari hospital tetapi jauh kedudukannya, terpaksa berpatah balik dan akhirnya singgah ke satu kawasan perkampungan. Penduduk terpaksa memberi pertolongan cemas dan terdapat seorang doktor haiwan yang hanya mampu merawat dan memberi jahitan dalam peralatan yang serba kekurangan bagi menyelamatkan nyawa. Kekecohan berlaku, timbullah sikap dan sifat manusia yang tamak dan tidak bertolak ansur apabila orang lain dalam kesusahan. Hanya cuba ingin melepaskan tengkuk masing-masing.
Pelancong-pelancong lain gusar dan tidak mampu menolong dan menunggu rakan yang ditembak. Sikap tamak, pentingkan diri, tak selesa dan takut bahaya lain akan menimpa diri sehingga membiarkan pasangan pelancong itu di rumah perkampungan sementara menunggu helikopter. Kecoh dengan berita yang cepat tersebar mengatakan tembakan itu adalah hasil daripada serangan pengganas islam anti barat tanpa ada usul periksa yang nyata. Itulah persepi dangkal pihak barat yang terus membuat terjahan melampau.
Takut dengan maruah negara tercalar, pihak polis tempatan telah menjejaki pemilik senapang tersebut. Menyoal dan bertindak kasar dengan memukul dan menerajang lelaki yang menjual senapang itu bagi mendapatkan maklumat. Berbagai insiden berlaku dan akhir sekali, pembeli senapang dan anak-anaknya telah melarikan diri tetapi berjaya disekat dan berlakulah adegan tembak-menembak yang membawa kematian kepada kanak-kanak tersebut. Hanya berpunca dengan tembakan rambang tanpa niat untuk membunuh membawa kematian dan kehancuran kepada sebuah keluarga. Sayu sekali adegan ini kerana memperlihatkan perasaan kasih sayang, ketakutan, keberanian yang wujud dalam sebuah keluarga.
Akibat tembakan itu, pasangan barat itu tidak dapat pulang awal yang mana anak-anak mereka dijaga oleh seorang pembantu rumah berbangsa Mexico bekerja secara haram di Amerika. Pembantu rumah ingin pulang ke Mexico atas majlis perkahwinan anak lelaki tetapi bagaimana pula anak-anak majikannya. Terpaksa juga membawa anak-anak majikan walaupun menjadi kesalahan. Namun apakan daya tiada siapa yang boleh menjaga mereka. Terhimpit dalam situasi rayuan majikan dan kehendak keluarga. Setelah habis majlis, ketika pulang ke sempadan mereka telah disyaki cuba menculik kanak-kanak dan takut dengan keadaan tersebut beliau telah melepasi kawalan keselamatan dan menjadi buruan polis. Akhir sekali, mereka tertangkap dan pembantu itu disabitkan kesalahan menculik dan pendatang haram. Namun, majikan telah mengugurkan dakwaan dan pembantu itu kehilangan pekerjaan dan dihantar pulang ke Mexico walaupun telah menjadi pembantu rumah untuk beberapa lama sebelum itu. Itulah tuntutan dalam perjalanan mencari rezeki dan permintaan ehsan majikan yang telah menjerat diri. Pendatang haram menjadi masalah negara bagi pihak Amerika.
Manakala, pemberian senapang oleh pelancong Jepun juga berhadapan dengan krisis iaitu masalah dorongan ingin tahu anak perempuannya. Masalah perasaan terlalu ingin tahu bagaimanakah hubungan seks dilakukan. Masalah dalaman keluarga. Anak perempuannya cuba mengoda lelaki atas perasaan dan keinginan seks. Berbagai peristiwa berlaku, akhir sekali, anak perempuan yang kematian ibunya akibat membunuh diri, telah menjalinkan hubungan sumbang mahram dengan bapanya. Itulah juga kekeliruan dan masalah penyakit sosial yang kian merebak dan bakal memberi padah.
Melalui jalan cerita dan pemasalahan yang timbul, hanya dengan selaras senapang telah membawa persepsi sempit dan tersasar manusia dalam membuat pertimbangan. Ianya telah membawa kaitan peristiwa yang saling kena-mengena walaupun jauh kedudukan dan berlainan bangsa di serata dunia.
Cerita-cerita begini tentu tidak menarik perhatian ramai penonton kerana jalan ceritanya yang tidak memberi keseronokan jiwa dan perasaan. Tetapi mesej yang ingin disampaikan adalah realiti sebenar dunia tentang apa yang terjadi, perangai dan tingkahlaku manusia bila berhadapan dengan masalah, krisis dan desakan. Bagaimana manusia sewenang-wenang mengambil kesempatan, membuat andaian serta tidak melihat implikasinya sehingga memberi kekeliruaan yang nyata dan jelas.
Adakah penjalanan arus dunia berkehendakan manusia bertindak kejam, ganas dan tidak bernas. Terlalu emotional. Toleransi dan kompromi sudah semakin menyusut dalam pertimbangan pemikiran manusia. Adakah kini, dunia telah banyak mencipta lebih banyak sikap dan sifat manusia ke arah minda dan perasaan “kebinatangan”. Menyisih dan menghilangkan keharmonian dan kesejahteraan. Bangkitlah…Bersatulah….mungkinkah????