Tak Perlu Bawa Beg ke Sekolah?

By nurulameerah

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Itulah tajuk artikel dari sebuah akhbar (Harian Metro/9 Julai 2008 ) mengenai perkembangan dan kemajuan terkini teknologi  yang bakal menempuh corak pembelajaran masa hadapan murid-murid. Idea perlaksanaan ini, ingin direalisasikan oleh sebuah syarikat iaitu Paperless Homework Sdn Bhd (Paperless) dalam memperkenalkan sistem pembelajaran pintar dan efektif.

Ianya satu cabaran kepada kaedah pembelajaran tradisional vs moden. Menurut idea ini, ianya mampu menjimatkan masa, tidak perlu proses salin-menyalin, pengurangan penggunaan kertas, menyelamatkan alam sekitar, lebih interaktif, meningkatkan kreativiti dan sebagainya. Lebih menarik daripada itu, ianya amat mudah dan boleh digunakan walaupun seseorang itu tidak celik teknologi maklumat menerusi perisian yang telah dibangunkan iaitu “Age”. Bahkan, ianya juga boleh menangani masalah bagi sekolah yang kurang berkemampuan memiliki perkakasan komputer yang terkini terutama di luar bandar dengan ciri-ciri hebat yang ada di dalamnya.

Suatu jaminan yang menarik perhatian dan mampu untuk mengubah kaedah pembelajaran terkini. Perisian yang pintar dan efektif adalah kunci dan mesej yang ingin diketengah dan diterapkan. Adakah nanti murid-murid menjadi malas untuk mendekatkan diri kepada buku jika semua hanya diberikan dalam bentuk “softcopy“? Semua maklumat dalam bentuk perisian akan disimpan dalam bentuk pemacu USB. Bagaimana nanti jika diserang virus-virus dan sudah tentu peningkatan kos kawalan dan benteng. Adakah kaedah ini benar-benar telah diuji dan melihat dengan lebih menyeluruh dan terperinci aspek-aspek pembelajaran terdahulu yang membawa kejayaan terkini.

Pada pandangan diri, apabila sesuatu idea diperkenalkan adalah berpunca daripada masalah yang timbul iaitu rungutan ibubapa yang mengambil berat tentang jadual dan buku-buku yang terlalu banyak harus dibawa oleh murid-murid ke sekolah. Menjadi bebanan berat untuk membawa dan mengheret beg sekolah yang kadang-kadang tak sesuai dengan saiz badan dan juga takut nanti didenda serta dimarahi oleh guru sekolah jika tertinggal. Lantaran itu, timbullah idea sedemikian. Ianya bagaikan pencetus kepada idea yang selari dengan perkembangan teknologi terkini. Nampak canggih dan terkehadapan, tetapi ciri-ciri pembelajaran tradisional masih lagi perlu dan harus kekal kerana ada aspek-aspek penting yang memerlukan kertas sebagai bentuk atau bukti sesuatu infomasi pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan dan hasil tindakbalas daripada murid-murid. 

Keadah Paperless ini hanya boleh dilaksanakan untuk sesuatu perkara dalam beberapa matapelajaran. Buku dan kertas latihan harus kekal digunakan kerana ianya secara lazim telah dapat menambahkan ilmu dan menguji minda murid-murid dilayar kertas. Segalanya dalam bentuk pembelajaran yang melibatkan teknologi maklumat hanya sebagai maklumat tambahan dalam mendedahkan dan menyesuaikan diri murid-murid dalam bidang ini dengan aspek menarik seperti grafik, video dan audio untuk lebih celik IT yang pesat membangunkan.

Mungkin suatu hari nanti, di masa hadapan yang mana sememangnya keadaan telah mendesak manusia menerima perubahan ini dengan tanpa tapi lagi untuk sistem pembelajaran yang sedemikian. Dalam apa jua perubahan yang ingin dilakukan perlulah ada penerimaan secara menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan tepat dan berkesan.

Tags: , , , ,

Leave a Reply