Assalamualaikum & salam sejahtera,
” 4 Sept 2008/jam 10.30 malam – Di laman rumah, duduk di bangku taman sambil minum secawan milo. Cuaca malam itu hujan rintik-rintik. Rasa sejuk mencengkam tapi segar. Sekarang ini hujan hampir turun setiap hari. Kadang-kadang amat lebat sekali, menyebabkan banjir kilat di sesetengah tempat akibat tangkungan air. Jalan sesak bila pulang daripada kerja apabila hujan turun. Aku merasai, perubahan cuaca berlaku dengan ketara sekali” …
Jika dahulu, kita tahu bila musim panas mahupun musim hujan akan turun dan hadir menjelma. Ketetapan dan konsistensi taburan mengikut jadual yang diramalkan. Namun, ketidaktentuan cuaca kini melanda dengan hebat sekali hingga membawa bencana besar yang menggerunkan dan memusnahkan kawasan setempat.
Perubahan cuaca yang ketara telah menimbulkan bencana alam seperti angin kencang, ribut taufan yang ganas, banjir kilat akibat hujan lebat dan kemarau yang berpanjangan sehingga kering kontang. Fenomena peralihan cuaca yang mengakibatkan suhu, lembapan, tekanan, udara dan sebagainya menurun atau meningkat dengan keadaan tiba-tiba, dan seterusnya iklim dunia juga mengalami dan menerima kesan perubahan yang amat ketara sekali.
Merujuk kepada situasi perubahan cuaca kini, sudah tentu pelbagai soalan yang bermain di minda fikiran kita.
- Apakah sebab-sebab utama kenapa dan mengapa perubahan cuaca dan iklim ini berlaku?
- Apakah kesan perubahan cuaca ini terhadap bumi dan manusia?
- Bagaimanakah untuk mencari jalan penyelesaian dan penyesuaian terhadap perubahan cuaca dan iklim terhadap bumi dan kehidupan manusia?
Para sarjana dan pengkaji banyak menyumbang kajian serta artikel-artikel ilmiah telah menunjukan bahawa punca utama perubahan cuaca dan iklim adalah atas perbuatan manusia itu sendiri. Penebangan hutan yang berleluasa, pembakaran secara terbuka, penggunaan bahan bakar dan sebagainya telah menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar di bumi ini yang membawa pencemaran udara, jerebu, tanah runtuh dan sebagainya.
Lantas, menjadikan keadaan yang bertambah teruk dan kompleks, natijah daripada perubahan cuaca dan iklim ialah pemanasan global. Isu kritikal yang mana, setiap negara di dunia ini tidak terkecuali menerima kesan tempias. Informasi mengenai maksud apa itu pemanasan global boleh didapati di artikel di bawah:-
Artikel Tentang Pemanasan Global
Sudah cukup dan memadai dengan kempen-kempen kesedaran, maklumat-maklumat awam di televisyen ataupun radio, risalah berkaitan, bahan bacaan buku, suratkhabar, di laman web dan sebagainya bagi menanam dan memupuk minda manusia tentang peranan mereka bagi menjaga kesejahteraan bumi. Apakah tindakan proaktif dan positif manusia dalam mengumpul maklumat berkaitan dan menggunakan kembali maklumat tersebut dalam kehidupan seharian bagi menjaga bumi ini.
Ketamakan dan kerakusan manusia membangunkan kawasan setempat dan sesebuah negara yang berpijak atas nama pembangunan bagi kehidupan yang lebih baik dan moden telah banyak memusnahkan dan “menelanjangkan” bumi yang tercinta. Tidak dinafikan, bagi mengejar pembangunan moden dengan infrastruktur yang baik dan teratur, “pengorbanan” harus dilakukan. Perpindahan teknologi daripada negara maju dan membangun juga telah menuntut kepada kemusnahan bumi kerana ingin mengejar status yang diiktiraf kuasa dunia yang kadang-kadang tergelincir dalam menjaga alam sekitar dengan mesra dan baik. Tetapi, sejauhmanakah keberterusan pengorbanan itu harus dilakukan. Di manakah garis putus dan perancangan yang sebagaimanakah harus diatur dan dilakukan seiring dengan menjaga alam sekitar agar terpelihara tidak musnah dengan teruk.
Apakah tanggungjawab bersama untuk menjaga alam sekitar dan kelestarian bumi. Menyemai keperihatinan manusia dengan lebih menyeluruh dan berkesan agar lebih cintai alam sekitar semulajadi ciptaanNYA untuk kita nikmati dan sayangi.
“SELAMATKAN BUMI KITA”
Tags: Cuaca, Kesan Pemanasan Global