Archive for March, 2008

“Blogger” & Laman Blog ibarat Melodi & Lirik

March 27, 2008

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Terbit satu artikel di sebuah akhbar mengenai pertumbuhan pesat akan jumlah laman-laman blog baru di internet. Ianya umpama seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kewujudannya sehingga tidak boleh dikawal dan seumpama kadar kelahiran di dunia. Tapi bagaimana pula kadar terkuburnya dan kurang aktif laman-laman blog, adakah sama dengan kadar kematian di dunia?? Catatan statistik yang terpapar menunjukkan bahawa laman-laman blog ini menjadi satu fokus media bebas yang mengutarakan pelbagai informasi berbagai bentuk maklumat seperti politik, komunikasi, teknologi, hiburan, isu semasa, percintaan, sastera dan sebagainya. Angka 120,000 blog baru telah wujud bagi setiap hari atau 1.4 blog sesaat. Wow…satu angka yang memberangsangkan.

Apakah sebenarnya petunjuk atau indikator yang ingin diberitahu atas kelimpahan dan kebanjiran laman-laman blog baru ini. Adakah limpahan ini sekadar menyesuaikan trend baru yang terhangat di pasaran kini? Melihat dan memahami perspektif kehendak dan keperluan manusia dalam memberi dan mencari bahan bacaan atau informasi yang baru dengan cepat. Suatu arus perubahan dalam media yang sihat harus diperkembangkan insitusinya sebagai media alternatif. Ianya memperluaskan sayap dalam gerbang media dan komunikasi. Media bebas dikatakan kian popluar dan menarik perhatian ramai atas beberapa sebab:-

  1. Landasan baru bagi idea dan luahan maklumat yang mudah, murah dan berkesan
  2. Tanpa ada sekatan yang sukar atau birokasi tetapi pantauan tetap ada jikalau maklumat yang cuba disampaikan memesong dari fakta kebenaran
  3. Kepelbagaian bentuk informasi boleh disampaikan
  4. Menggalakkan penulis muda untuk berjinak-jinak menceburi bidang penulisan dan penulis kini untuk memperluaskan idea yang bernas
  5. Catatan atau laman-laman blog boleh diakses serata dunia dengan cepat dan pantas pada bila-bila masa dan di mana sahaja
  6. Paparan laman-laman blog boleh dikreatif dan diinteraktifkan dengan memuat turun gambar, video, teks dan lain-lain dengan percubaan sendiri. Ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran celik IT yang bagus

Jika dilihat statistik lain yang dipaparkan di dalam artikel ialah pengguna internet yang telah meningkat dengan tinggi iaitu pada tahun 2000 ialah 3.7 juta dan kini ialah 13.5 juta. Bukti menunjukkan penduduk Malaysia benar-benar mengetahui betapa peri pentingnya penggunaan internet sebagai sumber maklumat yang tidak boleh dikesampingkan.  Lahirlah laman-laman blog dengan penulis-penulis lama atau baru bukan sekadar untuk memeriahkan tetapi kemampuan untuk memaksimumkan teknologi bergandingan dengan idea bahasa tulisan. Beberapa persoalan timbul untuk kita fikir sejenak..

  1. Apakah kategori yang sering dan hangat ditulis dan dibahaskan?
  2. Adakah penulis laman-laman blog ini sekadar mengisi masa lapang atau boleh memberi pendapatan sambilan?
  3. Bagaimanakah laman-laman blog ini boleh dijadikan sebagai satu jaringan atau rangkaian sesama “blogger” lain dengan berkesan dan mencapai matlamat
  4. Apakah jurang dan jenis penulisan antara “blogger” baru dan lama dan yang tua dan muda

Laman-laman blog ini bertindak seperti kain kanvas putih yang dapat melakarkan berbagai warna-warna dan corak atas butiran luahan perasaan seseorang “blogger” kata Jiwarasa penulis blog. Ianya lahir dari benak fikiran seseorang itu untuk memberi pandangan, persepsi, spekulasi, diskusi, komen dan kritikan atas sesuatu isu dan bahan idea yang ingin diketengahkan. Asli atau palsu tulisan itu, rekaan atau benar idea itu bukan persoalan mutlak. Pokoknya ialah setiap para penulis blog itu seharusnya bertanggungjawab tentang apa yang ingin ditulis bersandarkan etika seorang penulis dan menghormati hasil tulisan penulis asal. Cedukan bulat-bulat harus dijauhi dan mesti berprinsip perasaan bagaimana hasil tulisan anda diceduk tanpa sebarang penghargaan. Perit jerih, hempas pulas buah fikiran anda atau orang lain bagi melahirkan sesuatu yang bermutu telah dicuri tanpa rasa bersalah.

Laman-laman blog ini sangat hebat diperkatakan semasa pasca pilihanraya baru-baru ini. Terdapat pendapat yang menyebut bahawa pengaruh laman-laman blog ini mampu membuat satu peralihan yang drastik dan berkesan. Memahami perspektif penulis yang sarat dengan idea dan informasi untuk disalurkan ke masyarakat dan merenung kehendak para pembaca yang dahagakan bermacam maklumat sebagai kongsian bersama. Persoalan yang timbul dan kenyataan kebanyakan para ahli parti politik dan penganalisa politik menyebut bahawa pihak pembangkang mendominasi penggunaan media bebas ini untuk mempengaruhi dan meraih simpati para pembaca dan pengundi.

Pihak pembangkang dikatakan cuba membuat berbagai provokasi melalui media baru ini untuk mengutarakan isu-isu politik dengan lantang sebagai jambatan penghubung dalam antara pihak parti politik dengan masyarakat. Itu dilihat secara kasar tetapi jika diteliti dan dihalusi, media arus perdana elektronik ataupun cetak di negara ini, hanya berpihak kepada parti pemerintah sahaja. Jadi, apakah alternatif lain yang terbaik mampu dieksplotasi dan dimaksimakan sebaik mungkin oleh pihak pembangkang dalam menyampaikan idealogi, perjuangan, visi dan misi parti kepada masyakarat dengan cepat, mudah dan pantas dalam dunia serba serbi berteknologi tinggi dan pesat. Di wadah manakah harus mereka guna dan tujui? Kebanyakan berita di arus perdana hanya memaparkan dan mengembar gembur kejayaan pihak parti pemerintah tanpa ada cacat cela. Walhal ada banyak yang berlaku hingga terbit ketidak ketelusan dan kesangsian dalam pemerintahan yang membawa ketidakpuasan dan kemarahan. Ianya mendesak para pembaca untuk mencari dan menyelidiki situasi sebenar apa yang berlaku.

Tetapi, bolehkah situasi pihak pembangkang untuk mengadakan sendiri satu saluran TV dan radio untuk menyalurkan berita mereka?..sudah tentu ianya tak akan berlaku kerana saluran tersebut merupakan jalan untuk propaganda yang mustahak dan terpenting. Jadi tak mungkin mimpi akan direalisasikan untuk parti pembangkang. Akhirnya, laman-laman blog yang menyediakan tapak-tapak percuma seperti blogspot, wordpress, yahoo dan banyak lagi sebagai perumpamaan pucuk di cita ulam mendatang.

Selain daripada itu, artikel ini juga menyebut tentang penggunaan bahasa yang digunakan. Seorang ahli panel diskusi anjuran DBP dalam seminar iaitu Nisah Haron menyeru “blogger” untuk menulis dalam bahasa Malaysia. Satu seruan yang murni untuk menggalak dan memertabatkan bahasa kebangsaan kita sendiri. Kalau bukan kita sendiri yang memulakan siapa lagi harus kita dorong. Bahasa jiwa bangsa. Namun, bagi mereka yang sukar dan payah atas limitasi kemampuan untuk melahirkan idea dalam bahasa kebangsaan, apakan daya. Yang penting, usaha harus diteruskan. Bahan dan idea yang bernas dan cukup untuk menjana dan mencanai permikiran manusia ke arah yang lebih baik itu yang penting. Ekspresi diri kepada para pembaca. 

Lebih daripada itu, “blogger” juga harus bertanggungjawab dan mampu untuk menghadapi sebarang kritikan dan komen jika diajukan soalan. Laman-laman blog yang membenarkan diskusi diharap dapat memberi maklum balas yang rasional tanpa emosi. Takut-takut nanti akan membantutkan lebih banyak idea bernas di masa hadapan. Setiap pandangan dan komen itu haruslah dihormati.

Bagai menyeru “blogger” sebelum, kini dan masa depan untuk lebih aktif menulis. Berkarya untuk mencetuskan dan mengembangkan idea baru dalam bentuk perkara-perkara yang baik dan bukan sebaliknya. Mengadu domba, mengutus maklumat terpesong dan menghura-hara pemikiran masyarakat tentang hasil tulisan yang salah haruslah ditolak dan diketepikan. Bahan bacaan yang baik akan menyuburkan jiwa yang suci untuk menyihat minda yang sihat. 

Signifikasi pengaruh media baru sangat hebat sebagai peralihan mengikut kepesatan dan gasakan teknologi yang berubah tanpa kita sedar. Di samping luapan perasaan manusia yang terlalu inginkan sesuatu yang baru dan terkini berada di hujung jari. Sesungguhnya ianya membuka minda dan menjelajah jauh daya fikiran untuk lebih kritis dan kreatif dalam memikirkan sesuatu persoalan. Terjahan yang berkualiti, persepsi yang rasional, spekulasi yang memberi kebenaran, andaian tanpa emosi menggunung dan kesimpulan yang bermakna.

Kini, “blogger” dan laman-laman blog umpama melodi dan lirik yang tidak boleh dipisahkan. Merdunya melodi mengkhayalkan seperti pasangan bercinta di kala mula-mula bertemu dan indahnya lirik mengasyikan pula adalah mengenai cerita-cerita pasangan-pasangan itu. Justeru itu, “blogger” seperti melodi yang bertemu kasih dengan laman-laman blog yang dapat meluahkan cerita-cerita dengan penuh “passionate” bagi tatapan bersama.

Advertisements

Bahagia kucari, Damai kugapai

March 24, 2008

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Meruntum dan pilu rasanya hati ini bila menonton drama slot cerekarama di TV3 baru-baru ini. Walaupun, sudah banyak drama sedemikian telah dipertayangkan terutama bila tiba hari perayaan seperti Hari Raya Adil Fitri, Adil Adha, Maulidul Rasul, Awal Muharam dan sebagainya. Rata-rata ianya mempersembahkan drama yang bermotifkan pengajaran, pengingatan, sindiran dan tauladan tentang sikap, tingkah laku, kejahilan, emosi dan ketidakpuasan mengenai hak dan tanggungjawab. Kebanyakan meletakkan NAFSU beraja di HATI tanpa kawalan dan gagal menggunakan AKAL rasional sebagai kerajaan yang adil dan saksama.

Tujuan jalan cerita ini bukanlah untuk mengaibkan tetapi untuk memberi kesedaran tentang keperluan dan kehendak atas tuntutan tanggungjawab yang harus dipikul oleh seseorang itu adalah wajib dan mesti dilaksanakan. Cerita mengenai hubungan kasih sayang seorang ibu yang tak terhingga buat anak lelakinya yang telah menodai niat suci ibunya. Anak durjana itu telah menderhaka kepada ibunya bukan sahaja dengan melupai dan tidak mengendahkan kewujudan perasaan ibu, malah lebih teruk daripada itu telah menyakiti dengan bertindak menolak, memukul dan menerajang tepat pada badan ibu tersayang tanpa rasa bersalah dan kasihan. Rayuan demi rayuan serta rintihan telah dipohon kepada si anak mengagih simpati kasih sayang telah ditolak mentah-mentah dengan kata-kata nista tanpa memikirkan kesan dan akibat kemudian nanti. Hati dan perasaan ibu bagaikan terobek dengan tusukan tajam kata-katanya.

Ini semua atas kebanggaan dan kemewahan diri tentang kejayaan dalam kerjaya dan mempunyai isteri yang cantik dari golongan orang yang berada. Disangkakan panas hingga ke petang, rupa-rupanya hujan di tengahari. Lebih daripada itu, tidak timbul pula pelangi selepas itu untuk dikecapi keindahan warna yang memikat untuk penenang diri. Yang ada adalah taufan dan badai sebagai bencana yang perit dan pemusnah. Itulah balasan Allah yang maha esa jika tidak di akhirat, nescaya akan diturunkan balasan dunia secara “cash” tanpa boleh ditangguh atau ditepis.

Kebanyakan cerita-cerita sedemikian adalah berkisarkan antara hubungan anak lelaki yang tersepit di antara kasih sayang ibu dan cinta menggunung terhadap isteri. Apabila superego mengatasi ego fitrah manusia. Ianya hanya boleh diredakan jika….

1.  Jika anda seorang ibu….

Janganlah terlalu ikutkan hati untuk mendapat sepenuh kasih sayang dan perhatian anak lelaki anda. Ini kerana anak lelaki anda hanya seorang insan yang lemah dan perlu diberitahu dan tunjuk ajar walaupun sudah dewasa tentang ajaran dunia dan akhirat. Berilah sedikit kebebasan pada mereka untuk bertindak tetapi di dalam lingkungan kehendak dan tuntutan agama islam. Jika anda berkecil hati, jangan dipendam kerana ianya akan merebak menjadi satu penyakit yang parah walaupun bermula dengan sebesar hama kumannya. Yang perlu dilakukan berdoa kepadaNYA agar selamatkan hubungan ini ke jalan menuju kebahagiaan.

2.  Jika anda seorang isteri….

Sememangnya selepas akad nikah berlangsung, suami adalah segala-galanya. Sebagai payung tempat berlindung ketika susah dan senang, panas dan hujan. Tetapi ingatlah suami anda punyai satu bebanan tanggungjawab yang besar dan berat. Ianya harus dipikul dengan rasa penuh tanggungjawab dan amanah. Jika isteri itu molek dan sebagai orang dibelakang suaminya bergandingan dan memberi semangat tanpa berbelah bagi dan tidak sering merajuk terutama hal berkaitan ibu dan keluarga suami, nescaya kedamaian dan kebahagiaan milik anda. Sering berdoa, kekalkan hati suamimu terhadap tanggungjawab terhadap ibu dan keluargamu, pasti ganjaran yang besar menanti dan menunggu untuk diraih kegembiraannya.

3.  Jika anda seorang anak lelaki….

Wahai lelaki-lelaki yang bergelar suami. Sememangnya engkau memikul satu bebanan dan tanggungjawab yang berat dan besar. Namun, janganlah itu dijadikan alasan untuk tidak menunaikannya sebaik mungkin. Penumpuan kerjaya, ibu, isteri dan anak-anak jangan diambil mudah dan jauhi rasa berat sebelah. Walaupun secantik dan sehebat mana isterimu sekalipun, pandangan rasa kasih sayang tak terhingga buat ibumu yang tua itu adalah segalanya. Pegangan diri terhadap Allah yang maha esa akan menarik diri anda untuk memenuhi tuntutan agama dengan baik dan mengikut keutamaan. Berpada-padalah dalam menunaikan tanggungjawab. Selami hati kecil ibu mu yang telah banyak mengorbankan diri untukmu. Hayatilah perasaan isterimu yang banyak memberi kegembiraan dan keseronokan hatimu. Masa bersama isteri siang dan malam dan berkongsi apa sahaja. Dengan ibumu seringlah bertanya khabar, senyuman dan pelukan tanda balasan kasih sayang selama ini. Hey…. lakukankan ok…pasti kebahagiaan dan kesenangan milik anda.

Ruang dan peluang sedemikian hanya dapat sekali sahaja berlangsung dalam kehidupan kita. Dakap dan rebutlah untuk satu ganjaran yang berkekalan di akhirat nanti. Sememangnya tiada siapa yang tidak lari dari melakukan kesilapan diri. Cuma apa yang perlu dilakukan dan diingatkan ialah supaya tidak leka dan mempelajari kesalahan dan kegagalan itu untuk membina satu kehidupan yang baik dan bahagia.

Jangan dianggap ibu tua itu sebagai sudah gayut atau “kain buruk yang kotor” dan tak berguna lagi. Wujudnya ibu bukan sahaja untuk melahirkan kita ke dunia tetapi telah diarahkan dan mempunyai keistimewaan yang sungguh ajaib iaitu DOA ibu sangat mustajab untuk anak-anaknya. Kecantikan akan pudar apabila sudah tua nanti, kekayaan akan hilang jika kita tidak mensyukuri nikmat Allah yang maha esa.

Marilah sama-sama kita mencari sesuatu kebahagiaan dan kesenangan atas “jaminan” yang pasti dan sudah termaktub. Jika kita muda pasti kita akan tua dan mungkin akan berlaku sesuatu yang boleh dielakkan masa muda jika kita gagal menunaikan tanggungjawab…..

Mencari Kemanisan ke Jalan Hakiki

March 21, 2008

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Sudah hampir sebulan, ibu kesayanganku pergi meninggalkan kami empat beradik bagi menimba ilmu ke sekolah pondok warga emas. Itulah hasratnya dari dahulu. Arwah abah telah meninggalkan ibu dan kami sejak 12 tahun yang lalu. Hidup sendirian bersama-sama dengan cucu-cucu penuh dengan tawa gembira, suka duka, onak duri, keluh kesah dan sebagainya. Akhirnya ibu membuat keputusan untuk pergi melakukan sesuatu bagi memenuhi hasrat terdahulu dan kepuasan diri. Selebihnya adalah untuk mengisi masa lapang dan bekalan di dunia hakiki nanti.

Katanya anak-anak emak dah cukup bersedia dan cucu-cucu emak sudah mampu sendirian tanya jagaannya. Walau apa sekalipun alasan dan sebab kenapa dan mengapa, kami adik beradik gembira akan keputusan dan mengucapkan berbanyak terima kasih atas pertolongan ibu untuk sama-sama menjaga anak-anak kami ketika kami keluar bekerja. Jasa dan pertolongan ibu terlalu besar dan tak mampu kami bayar dengan wang ringgit.

Berbagai pandangan dan alasan telah kami terima mengenai keputusan ibu untuk ke sekolah pondok daripada jiran tetangga mahupun saudara mara. Ada yang kurang setuju dan ada yang setuju dan malah menggalakkan sekali. Kurang setuju atas alasan kerana menganggap kami adik beradik ingin melepaskan tanggungjawab daripada menjaga ibu. Tapi ianya sikitpun tak terlintas di fikiran kami. Yang setuju dengan keputusan ibu memberi dorongan dan semangat kerana ianya  satu jalan terbaik dalam mengisi diri dengan ilmu-ilmu Allah dan untuk lebih dekat kepadaNYA. Dalam meniti usia emas yang berharga. Peluang ini harus direbut sebagai bekalan kehidupan di dunia satu lagi.

Ku lihat ibu gembira bila aku datang melawat. Keceriaan dan ketenangan di wajahnya terpancar. Mungkin keinginan hasrat hati tercapai dan aktiviti yang dilakukan di sana memberi kepuasan dan kedamaian hati. Alhamdullilah ku panjangkan syukur kepadaMU atas hidayah dan nikmat yang telah dilimpahkan buat ibuku.

Ternyata tempat sekolah pondok kediaman yang ibuku telah pergi amat sesuai menerusi pengisian ilmu di samping kawasan infrastruktur dan prasarana yang telah disediakan amat selesa sekali. Aku berterima kasih.

Di sini bukan aku ingin mengembar gembur akan pemergian ibu ke sana atas apa yang tersurat, tetapi apa yang tersirat adalah tempat yang sedemikian untuk warga emas samada berpasangan, duda, balu atau janda untuk datang menimba ilmu memberi sedikit ruang dan peluang agar masa yang terluang di akhir-akhir usia ini dapat dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan berkesan. Penubuhan sekolah pondok ini berdiri atas pertubuhan sebuah yayasan dengan tenaga kerja yang bukan calang-calang orangnya. Bahkan mereka juga daripada golongan professional dan tinggi ilmu dunia dan akhirat. Perancangan dan penyusunan yang strategi telah banyak menyumbang bagi membentuk satu sekolah pondok yang bagus dan terkenal untuk kecemerlangan insaniah. Justeru itu, ianya bagai satu alternatif bagi warga emas dalam merancang dan menyusun kehidupan seterusnya di samping bagi mengikat silaturahim yang erat sesama manusia.

Ramai di antara kita masih menggangap sekolah sedemikian ini seperti rumah orang tua bagi anak-anak mereka yang enggan untuk menjaga dan bertanggungjawab. Tapi ianya harus dilihat lebih daripada itu. Melihat perspektif yang lebih luas dan memahami kehendak dan keperluan manusia yang berbagai ragam. Oleh yang demikian, kewujudan sekolah pondok ini perlu ada sokongan dan dorongan daripada pihak pengurusan mahupun masyarakat sendiri.  Walaupun, ianya bukan satu pendidikan yang formal yang diberi sijil atau sebagainya, tetapi ianya satu pendedahan untuk warga emas untuk kehidupan sosial secara am di samping motif utama untuk mendapatkan ilmu agama.

Walaupun apa sekalipun langkah yang diambil, perjalanan kita sebagai umat manusia ciptaanNYA harus berpegang akan suruhanNYA bagi mencari kemanisan ke jalan hakiki………

Mata Penamat@Match Point

March 19, 2008

Sudah berulangan aku menonton cerita  “Match Point” yang ditayangkan di Star Movies. Entahlah kenapa aku suka menonton cuma yang pasti ianya memberi pengajaran bila manusia sudah terdesak di luar kawalan dan akal fikiran. Sanggup untuk melakukan sesuatu yang kejam. Walhal apa yang telah dilakukan sebelum ini bersama adalah atas rasa sayang, cinta bagi suatu kehendak, keperluan, keinginan dan kepuasan.

Namun, bila nafsu sudah bertakhta di hati tanpa menggunakan akal fikiran yang tinggi untuk membezakan perbuatan yang jahat dan kejam serta baik dan murni, pasti nanti natijah yang diterima mencengkam diri.

Cerita bermula, mengenai sepasang suami isteri yang kaya dan mempunyai 2 orang anak iaitu seorang lelaki dan perempuan. Anak lelaki telah bertunang dengan seorang perempuan yang cita-citanya untuk menjadi seorang artis. Namun dia tidak disukai oleh ibu lelaki tersebut atas alasan cita-citanya hanya remeh dan omongan kosong sahaja. Akhirnya mereka berpisah dan lelaki itu bertemu jodoh dengan perempuan lain. Manakala anak perempuan pasangan suami isteri ini pula telah terpikat dengan jurulatih tenis kepada abangnya. Namun, jurulatih tersebut lebih terpikat kepada tunangan abangnya kerana lebih menarik, seksi, menggoda dan memberi “kepuasan” apa yang lelaki itu inginkan. Tetapi disebabkan mencari peluang, wang, gaya hidup dan kedudukan yang lebih baik untuk diri dan kehidupan masa depan, jurulatih itu memilih anak perempuan pasangan kaya itu. Jurulatih itu telah berjaya menjawat dan menduduki jawatan yang sangat baik di dalam perniagaan ayah kepada perempuan itu. Akhirnya mereka berkahwin. Hasrat tercapai.

Namun, disebabkan perpisahan dan putus hubungan dengan bekas tunangan tersebut dengan ahli keluarga yang kaya itu, perasaan jurulatih itu kecewa. Ini kerana dalam hatinya masih berdetik dan terus menerus mengingati perempuan itu dan berharap bakal berjumpa untuk meneruskan perasaan dan gelora dihatinya. Suatu hari pertemuan secara tak sengaja telah berlangsung. Bercantumlah semula tali pemutus dan bermulalah suatu hubungan “luar” yang pada asasnya perasaan kasih sayang yang bergelora dan tak dapat dibendung. Kehidupan bagai sepasang suami isteri yang memerlukan “makanan” batin semata-mata. Dipendekkan cerita, perempuan itu akhirnya mengandung tanpa diduga dan ianya memberi tekanan kepada pihak lelaki mahupun perempuan itu sendiri. Pihak perempuan terus ingin menuntut haknya atas anak yang dikandung dan sering mencari lelaki itu untuk bersama dan bertanggungjawab. Manakala lelaki itu pula tertekan dan tersepit antara isterinya yang juga mengandung serta kedudukan di dalam keluarga perempuan itu yang banyak menolong dan membantu dalam mencapai tahap kedudukan dan kehidupan yang lebih baik.

Berlakulah beberapa insiden yang mana pergaduhan dan kekecohan telah berlaku. Maka, kewarasan akal lelaki menjadi di luar batasan emosi yang kurang rasional. Masing-masing menjadi defensif bagi menegakkan kehendak tuntutan agar puas di hati mereka. Lantas, agar hak dan ruang yang dikecapi kini, tidak tergugat dan dicerobohi, maka, lelaki itu telah bertindak dalam suatu rancangan untuk membunuh perempuan itu. Wahhh…suspen sungguh masa hari perempuan itu dibunuh… (aku tak moh cerita kerana memang lelaki ini berani untuk melakukan bila diri sungguh2 dalam keadaan tertekan dan terdesak). Akhirnya perempuan itu mati dalam cara dan suasana seperti rompakan oleh penagih dadah di apartment perempuan tersebut.

Namun, kesalahan diri terus membaham dan menghantui hati dan perasaan lelaki tersebut. Walau kelihatan tenang dalam hati dan perasaan tetapi kehadiran roh untuk membalas dendam hadir dalam mainan perasaan dan mimpi. Polis telah mensyaki ianya perbuatan lelaki tersebut, tetapi gagal untuk membukti atas beberapa alasan yang samar untuk diketengah dan dijadikan bahan bukti. Akhirnya lelaki tersebut terselamat. Dia hidup gembira bersama isteri dan anak yang baru dilahirkan. Itulah penamatnya.

Aku terpegun. Daya pemikiran manusia yang berasaskan akal fikiran yang tinggi bertukar bila NAFSU jahat mematikan niat baik atas kehendak, keinginan dan kepuasan bersama. Bila ketenangan dan keindahan sedang berlangsung, kekadang manusia leka lagi alpa akan kesan atau natijah berlaku kerana perbuatan salah di sisi agama dan nilai manusia tidak dijaga dan bertanggungjawab. Suatu hubungan itu bukan atas alasan NAFSU tetapi mesti bertanggungjawab menerima kesan atas apa yang bakal berlaku dan tanggani dengan hati terbuka dalam mencari penyelesaian yang baik.

Walaupun ianya hanya cerita filem semata-mata, tetapi ianya patut tonton dan nilaikanlah. Nilai dan harga diri seseorang yang dipanggil manusia yang tinggi dari segi penciptaan olehNYA boleh bertindak sedemikian. Mencari mata penamat dan titik noktah penyelesaian untuk suatu masalah tanpa fikiran rasional dan emosi menggunung. Dengan kejam telah mengorbankan nyawa sesama manusia. Mungkin suatu tekanan yang tak boleh dibendung lagi atau mencari jalan singkat dan mudah. Korek lubang dan gambuskan sahaja……