Archive for April, 2008

Sekolah Gembira

April 21, 2008

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Apakah pilihan anda apabila bangun dari tidur di setiap pagi hari? Rasa gembira ataupun marah, sedih, duka, kecewa dan sebagainya. Adakah peristiwa malam sebelum akan mempengaruhi mood rasa dan perasaan anda sepenuhnya? Mencengkam pemikiran anda seratus peratus? Adakah kalau mood anda berasa sangat ceria dan harmoni pasti rasa gembira menyelubungi hati dan perasaan? Pemikiran anda rasa tenang dan indah sekali. Namun, jikalau tidur anda dalam keadaan marah dan sedih, adakah pembawaan perasaan itu terus melekat apabila anda bangun pagi. Bolehkah perasaan marah berubah secara automatik seperti menekan suis lampu? Tekan atas gembira dan tekan bawah marah. Atau sebenarnya tiada impak yang signifikan. Semuanya biasa sahaja sebab diri tak kisah, bila bangun pagi mood ok jer..biasa-biasa saje walaupun apa sekalipun mood malam sebelumnya.

Kalau kawalan ini tidak melibat perasaan, emosi dan fikiran pasti boleh. Namun, manusia ciptaanNYA yang sungguh luar biasa dan unik ini telah dianugerahkan dengan berbagai bentuk perasaan secara dalaman dan luaran. Apabila secara dalaman, berbagai gelodak dan kocakan perasaan bermain di permikiran dan sanubari. Kalau naluri gembira berterbangan pasti senyuman mekar menguntum di bibir nan merah. Jikalau marah yang hinggap di dahan hati dan perasaan, darjah termometer untuk sedih dan kecewa boleh naik ke paras bacaan 100 darjah!!!. Nah… secara nyata yang semulajadi ialah perasaan dalaman membawa kepada terpancarnya perasaan luaran iaitu tindakan zahiriah kita samada baik atau kurang baik.

  • Apakah faktor sebenarnya yang mempengaruhi mood hingga memberi kesan mendalam pada hari anda?
  1. Adakah penerimaan khabar berita yang gembira atau buruk dan yang tak disangka?
  2. Adakah kerana ada orang menguris dan melukakan hati dan perasaan?
  3. Rasa ketidakpuasaan atas sesuatu perkara atau orang?
  4. Tidak dapat memiliki benda atau orang yang kita sukai?
  5. Berdepan dengan masalah yang sukar serta sulit diselesaikan atau manusia yang kita benci?
  6. Berdebar-debar ketika berjumpa dengan seseorang yang penting dalam hidup anda?
  • Di peringkat manakah sesuatu isu atau seseorang itu telah menyebabkan mood anda berpusing dan tersentuh?
  • Apakah bentuk-bentuk tindakan yang akan dizahirkan oleh seseorang itu bila mood gembira atau marah menyelubungi diri anda?.
  • Di peringkat manakah seseorang itu perlu tahu dalam membuat pengurusan diri mengatasi masalah emosi diri?

Manifestasi daripada itu, terdapat sekolah di Britain telah menawarkan kelas-kelas kegembiraan bagi mengatasi gelaja kurang sihat dalam komuniti. Ini untuk mengelakkan masyarakat yang terlalu berkeinginan dan terpengaruh dengan godaan kebendaan dan selebriti. Menurut Pengetua Kolej Wellington di Crowthore, Berkshire di barat London, Anthony Seldon berkata, kehidupan sekarang terlalu mementingkan keputusan akhir dalam akademik dan materialistik. Penumpuan terhadap nilai-nilai aspek kehidupan realiti tidak diambil pusing sehingga kehilangan sesuatu yang lebih bermakna dalam hidup di dunia yang sementara ini. Murid-murid akan mempelajari teknik-teknik pengurusan perhubungan komunikasi serta interaksi sesama manusia, membendung perasaan emosi yang berkocak dan negatif, “merawat” kesihatan mental dan fizikal agar dapat mengurangkan kekalutan jiwa.

Persoalannya sekarang ialah perlukah manusia diajar sehingga ke peringkat itu bagi mencari penawar merawat atas kekalutan jiwa dan emosi yang membawa ketidakgembiraan. Mengwujudkan satu kurikulum atau silabus matapelajaran tertentu bagi membendung rasa negatif. Emosi adalah satu perasaan yang unik dan pilihan adalah di tangan kita sebenar-benarnya.

Menurut Profesor Jon Haidt, pensyarah psikologi Universiti Virginia mengatakan bahawa, untuk tenang seseorang itu boleh memilih samada mahu jadi pemaaf atau seorang yang selalu bersyukur dan berterima kasih. Apakah maksud di sebalik kata-kata itu?. Tentu sekali ialah menerap dan memupuk perasaan yang positif ke dalam diri kita. Menyemai benih-benih yang mampu menyuburkan hati dan perasaan serta menyihatkan daya pemikiran ke arah yang baik. Benih-benih ini akan menjadi penguat semangat untuk berusaha menghindari serangan penyakit jiwa dan mental yang dihadapi. Lantaran daripada itu, ianya dapat menyingkirkan hampir kesemua punca-punca negatif yang merundumkan jiwa dan emosi ke suatu sudut negatif dan kalah senantiasa.

Memang sukar untuk menyebut kata-kata maaf. Keramatnya kata-kata maaf ini bagai melawan sikap ego atau melanggar prinsip hidup. Maaf hanya akan dilafazkan jika kita melakukan kesalahan dan kesilapan. Namun, jika ego yang melampau akan menyukarkan diri untuk melafazkan kata-kata maaf walaupun kesalahan adalah ditangan kita sebenarnya. Tapi, bagaimanakah kalau anda yang memulakan kata-kata maaf terlebih dahulu kepada mereka yang melakukan kesalahan kepada diri kita bagi menyelamatkan satu hubungan yang telah lama dibina.

  • Sudikah kita mengunkapkan kata maaf terlebih dahulu?
  • Mampukah kita memulakannya dari mempertahankan ego?
  • Bersediakah kita membuka ruang dan jalan bagi mengendurkan ketegangan?
  • Egoku akan jatuh dan hilang taring?
  • Air mukaku akan tercalar dan tidak dihormati lagi?

Secara tersurat memang sukar kerana terpaksa menebalkan muka. Tapi sebenarnya maruah dan ego anda telah meningkat ke tahap yang lebih tinggi jika dihalusi dan diselami. Anda akan terus dihormati dan disayangi kerana melakukan dengan hati terbuka. Menerima kekurangan orang lain dan berkongsi perasaan agar suatu kegembiraan hidup subur dalam hubungan yang telah lama dibina. Natijah akhirnya pasti, anda dan rakan anda akan menjadi lebih rapat dan ianya bagaikan hadiah yang tidak bernilai.

Apakah penawar yang lain sebagai ubat bagi membendung rasa negatif dalam kehidupan kita? Kehidupan yang berdepan dengan berbagai karenah dan punca-punca mengheret ketidakgembiraan bersemi di hati dan perasaan. Perlukan vitamin yang harus ditelan setiap hari sebagai benteng kepada sistem imunisasi hati dan emosi kita. Jika sudah sakit atau parah, pasti hospital bahagia akan memberi ruang untuk anda!.

Oleh yang demikian, sebelum terlambat, bagi menggerak atau memotivasi diri melawan rasa ketidakgembiraan dan kemurungan, kita sebagai tuan badan mesti senantiasa mengamalkan sikap-sikap positif bertindak secara adil dan menerima kelebihan serta kekurangan diri dengan hati terbuka. Ini semua demi mengekal dan mengukuhkan hubungan yang lebih harmoni dan ceria. Kekuatan diri untuk melawan pemikiran negatif bukan mudah, tapi jika pedoman semangat yang kuat bagi menepis dan mencari caj-caj positif seperti jujur serta ikhlas dalam hubungan pasti menyeronokkan.

“Senyuman” terbit lantaran daripada perasaan hati yang gembira. Senyuman ibarat pewangi. Semburkanlah ianya agar orang lain disekeliling dapat merasai kegembiraan itu. Ianya juga satu hadiah percuma tanpa perlu dibeli atau dijual. Keikhlasan dalam memberi pujian adalah suatu tindakan yang amat digalakkan. Jangan lokek kerana ianya dapat meransang kepada banyak perkara yang baik. Memotivasi semangat agar terus memacu diri. Walaupun hanya dengan kata-kata yang ringkas seperti “bagus”, “tahniah”, “saya suka” atau “great job”. Senantiasa berprasangka dan berbuat baik. Sering menawarkan pertolongan jika diminta. Walau sekecil mana sekalipun bantuan yang diminta tanpa mengharapkan balasan.

Menyibukkan diri dengan pelbagai aktiviti seperti kemasyarakatan, berpersatuan, hobi dan senaman dapat mengurangkan kemurungan atau perasaan yang tidak gembira di hati. Meredakan suasana kemelut di hati dan jiwa. Emosi diri yang lebih tenang dan ceria. Lama-kelamaan ketenangan akan dapat digarap. Dengan aktiviti sedemikian, bukan sahaja mampu mengurangkan apa yang membelenggu dan menyempitkan perasaan tapi melihat secara keseluruhan iaitu boleh menambah ilmu dan pengalaman yang berharga.

Penerangan di atas bagaikan menyaran manusia supaya membuat pilihan yang terbaik. Mencari alternatif dalam mengatasi kekalutan hati dan jiwa. Membina dan memupuk kecerdasan emosi supaya manusia tidak tergelincir berdepan dengan masalah yang mencengkam diri. Namun, adalah mudah untuk memberi nasihat dan kata-kata pada mereka yang memerlukan. Tapi pada mereka yang mengalami dan menghadapi sendiri masalah tersebut terpaksa berdepan dengan seribu dugaan sehingga tak tertanggung rasanya. Berjaya atau tidak, cepat atau perlahan, mampu atau tidak adalah ujian yang perlu ditempohi. Realiti yang tidak mampu ditolak atau ditangguh. Mencari kehidupan yang ideal atau praktikal….

 

 

 

 

Dari Wanita Untuk Wanita

April 13, 2008

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Ajakan kawan untuk menemani dia menghadiri satu majlis taklimat mengenai perniagaan di internet pada mulanya aku tidak hiraukan sangat dan ambil pusing. Namun akhirnya aku tewas dan akur setelah dipujuk dengan berbagai alasan dan sebab. “OK…Ok…no problem, aku pergi”.. itulah kata-kata di akhir perbualan telefon dua minggu yang lepas. Sehari sebelum hari itu, aku menerima sekali lagi panggilan dan beberapa sms untuk mengingatkan aku tentang temujanji. “Ya…baik kawanku, kita jumpa di lobby Hotel Grand Seasons jam 4.00 petang pada 12 April 2008”.

Tepat jam 3.15 petang, akupun bertolak dari rumah untuk pergi ke KL dan hari pulak hujan…. argghhhh…harap tak jam, dahlah aku ini tak berapa tahu sangat tentang tempat-tempat di KL!. Harap tak sesat. Hotel Grand Seasons…emmmm di mana yek, beberapa jam sebelum nak pergi, sempat aku mengambil alamat dan menjengah di internet untuk mencari peta lokasi. OK..beres, aku dah dapatkannya.

Alhamdullilah, tepat jam 4.00 petang, aku pun sampai dan terus memarkir kereta. Seperti dijanjikan, dia telahpun menungguku di lobby bersama adiknya. Setelah berborak sebentar untuk melepaskan rasa rindu kepada kawan yang hampir agak lama tidak berjumpa. Kamipun bergerak ke tingkat 2, ke Grand Ballroom di mana majlis akan berlangsung. Wow..hebatnya!!!… itulah ekspresi pertama dariku. Nampak “grand” sekali, macam majlis makan malam sebuah syarikat korporat.

Aku jadi tak percaya!. Sebab semuanya agak nampak sempurna, meriah dan “high class” susunannya.  Daripada “door gift”nya yang agak mahal sehingga ke bilik berlangsungnya majlis itu semuanya nampak eksklusif, makanannya yang sedap, hadiah cabutan bertuah dan lebih menariknya ialah segala “F.O.C” untuk para peserta. Rakanku sempat berbisik kepadaku.. “kan dah cakap…bestkan? tulah tak nak percaya… bukan aku tak nak percaya tapi, dari mana mereka dapat duit ni untuk mengadakan dan menganjurkan majlis sedemikian dan segalanya ditanggung beres dan percuma!!!

Pada mula ajakan rakanku, aku berfikiran spektikal dan berpandangan sinis. Mana tidaknya, sebuah majlis yang percuma dan mesti ada maksud disebaliknya. Mesti program MLM yang heboh diperkatakan. Mana boleh segalanya “percuma”?. Maaf, kalau andaian aku ini tidak boleh diterima dan nampak negatif. Tapi aku tidak boleh lari daripadanya. Aku mengambil jalan terbuka yang lain pula. Mencerap dan memerhatikan keadaan sekeliling dan mengambil pendekatan untuk menyelidik tujuan dan maksud sebenarnya majlis ini. Majlis yang aku kira lebih kepada majlis “treat” atau memberi kegembiraan kepada semua hadiran yang hadir. Dinamakan “Majlis Dari Wanita Untuk Wanita”. Majlis kesyukuran atas kejayaan yang diperolehi. Tahniah!.

Ucaptama dari Presiden MIRSB iaitu YBhg Dato’ Dr Zubir Yahya sebagai penganjur utama majlis dengan topik iaitu teknik mencari nilai diri anda. “Apakah nilai diri atau harga diri anda?”. Itulah persoalan yang diajukan. Tersentap sebentar dengan persoalan itu. Tetapi maksudnya bukan nilai pegangan diri tetapi “berapakah pendapatan anda sehari?”. Katanya jumlah bulanan pendapatan dibahagikan kepada 20 hari dan 10 jam waktu bekerja. Jumlah akhir yang diperolehi itulah jumlah nilai atau harga diri anda dalam sehari. “Adakah 0 sehingga RM100 sehari dan sebagainya?” Beliau memberitahu harga sehari Pn Wan Norai iaitu Timbalan Presiden ialah RM100,000!!!.

Ucapan yang ditunggu-tunggu dan dinanti-nanti oleh semua yang hadir iaitu daripada Pn Wan Norai Wan Ismail atau ingin dikenali sebagai Pn Nora, telah memberi semangat dan bagaikan menyuntik rasa baru bagi setiap wanita yang hadir. Beliau telah menceritakan bagaimana jatuh bangun, susah senang, perit jerih dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran dan godaan. Ku hulurkan rasa hormat dan gembira kerana kejayaan beliau dalam mengatasi segala masalah dan musibah yang datang menerpa dalam hidupnya. Kecekalan dan keberanian beliau telah membawanya ke satu tahap tinggi. Memberi keyakinan dan membuka ruang kepada wanita yang lain untuk sama-sama menyahut cabaran hidup yang penuh dengan liku-liku beranjau.

Hasrat beliau ialah untuk memberi ruang dan peluang kepada wanita-wanita di negara ini untuk bangkit dan berdikari mencari sumber pendapatan kewangan yang lebih baik. Ingin mengegarkan industri perniagaan dengan membina aktiviti-aktiviti dan jenis produk serta perkhidmatan yang ingin ditawar atau diniagakan. Menjana dan menambah pendapatan. Peluang yang harus direbut dengan cepat katanya. Untuk pengetahuan semua, iklan perniagaan beliau selalu terpampang di akhbar Harian Metro.

Selain daripada itu, pembabitan Syarikat Tekun iaitu sebuah syarikat yang akan menyediakan pinjaman kepada mereka yang memerlukan. Ini dilihat sebagai galakan kepada mereka yang benar-benar ingin menceburi perniagaan secara serius. Itulah matlamat syarikat Tekun dalam menjayakan program sedemikian. Katanya syarikat Tekun ialah syarikat kewangan yang berdaftar dan benar-benar ingin menolong bukannya agen “ALONG”. Diharap pertolongan syarikat ini benar-benar membuka ruang yang lebih luas kepada mereka yang berminat untuk berniaga. Diumumkan juga, bahawa peserta-peserta yang berminat dengan program yang diatur itu, hendaklah menghadiri taklimat bagi mengetahui lebih lanjut dan memahami bagaimana ianya berfungsi dan berjalan. 

Seterusnya, majlis ini bagaikan diserang histeria bergema dari pelusuk dewan, bila “lelaki idaman” bagi kebanyakan wanita di Malaysia memasuki dewan untuk menghiburkan para hadirin semua. Yes… wanita mana tak cair melihat Anuar Zain. Dengan lagu-lagunya yang syahdu dan “feeling” habis dan liriknya yang memukau. Bertambahlah jeritan bila Anuar terus singgah dari meja ke meja. Tapi nasib baik tak ada adegan yang tidak diingini… hehehehe… seperti email yang aku terima baru-baru ini babak ciuman ringkas iaitu ketika peminat wanita bergambar “dekat” bersama Anuar Zain semasa berlangsungnya majlis minggu setiausaha baru-baru ini. Agak terkejut juga, tapi mungkin bila peminat yang terlalu taksub atau obses, inilah kesannya. Aku bercakap mengikut gambar yang diterima melalui email sahaja.

Dewan sekali lagi, bergema dengan tepukan gemuruh apabila diumumkan Raja Gelek Malaysia iaitu Dato’ M. Daud Kilau akan beraksi dan mendendangkan lagu-lagu evergreen darinya untuk semua hadirin. Mungkin tak sehebat Anuar Zain tetapi, Raja Gelek ini tetap mendapat sambutan hangat, mana tidaknya, setiap kali beliau menyanyikan lagu, pasti ada peminat naik ke pentas untuk bergelek dan menari bersamanya. Apa yang aku perhatikan, Dato’ memakai beberapa lapis pakaian bersequin indah melata dan membukanya satu lapis ke lapisan seterusnya… mengikut lagu yang didendangkan. Jika Anuar Zain yang berbuat demikian, tentu peminat kat bawah dah menjerit…hehehehhee. Mungkin faktor usia Raja Gelek itu sudah hampir 70 tahun, meredakan segalanya….

Di sini, aku ingin merakam setinggi-tinggi tahniah dan ucapan terima kasih kepada Pn Nora kerana mengajak kaum wanita untuk menceburi perniagaan yang telah disusunatur bagi meningkatkan hasil pendapatan terutama untuk ibu tunggal, suri rumah dan siswazah menganggur (…macam aku..hehehhehee). Untuk tampil kehadapan berdepan dengan cabaran kehidupan sengit dan membaiki sumber kewangan yang lebih baik. Kepada mereka yang telah berjaya mengikuti program dan perniagaan sedemikian, syabas di atas kejayaan dengan pulangan wang yang banyak berpuluh-puluh ribu seperti pengakuan atau testimoni yang dinyatakan itu. Pada mereka yang baru ingin memulakan, semoga berjaya.

Semasa perjalanan pulang, fikiran aku merewang-rewang dan mengenangkan majlis itu kembali. Kata-kata daripada Presiden MIRSB, apakah nilai anda sehari?… aku tersenyum, senyuman duka, aku tahu nilaiku tiada kerana pendapatan aku kini “kosong”. Namun, aku mempunyai nilai lain, nilai maruah dan harga diri yang tinggi bagi ku berpegang sehingga “memaksa” aku terdampar begini dan berdepan dengan hakikat nilai pendapatanku yang kosong….

Aku suka kerja… Aku benci kerja… Aku mesti kerja… di mana titik kepuasannya?

April 7, 2008

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Bangun…bangun… dah pagi ini! Samada dikejutkan oleh jam loceng, ibu, isteri, suami atau tersedar dengan sendirinya, pasti di pagi itulah bermulanya untuk hari baru. Bagi merencanakan satu lagi peristiwa atau menimba pengalaman yang pasti menarik dan menyeronok atau sebaliknya. Hari yang bakal memberi seribu satu lagi pengajaran atau ilmu baru.

Pernahkah atau selalukah diri anda merasakan….arrrghhhhhhhhh…. kena pergi kerja ker?.. eeeeiii.. “MALASNYEE”… samada faktor…sememangnya malas, letih, bosan dengan kesesakan jalanraya, boss yang garang dan menjengkelkan, keadaan tempat kerja yang memeningkan kepala, terpaksa bekerja dan lain-lain. Ianya pasti memberi tekanan dan meletihkan hari dan hidup anda. Melakukan sesuatu perkara dalam keadaan “terpaksa” dan hampir tidak ikhlas hingga timbul perasaan “meluat”.

Tak boleh ker aku duk kat rumah?. nak panjangkan badan, nak besarkan badan, nak manja-manjakan diri dan badan… (heheheee…ini semua perumpamaan untuk merehatkan diri dan badan dalam erti kata sebenarnya) . Dalam hidup realiti pada mereka yang bekerja, hanya pada ketika cuti hujung minggu, tahunan atau sakit sahaja boleh direalisasikan. Hidup ini penuh dengan tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan, walaupun terpaksa.

  1. Kenapa dan mengapakah manusia jadi begitu?
  2. Apakah faktor-faktor yang mendorong situasi sedemikian melanda?
  3. Apakah kepuasan kerja yang sebenar-benarnya?
  4. Sejauhmanakah manusia mampu mengubah sesuatu situasi yang bermasalah itu atau mereka hanya mendiamkan diri sahaja?
  5. Bagaimanakah untuk menghalang atau menghindari perasaan negatif tentang ketidakpuasan bekerja?

Itu mungkin beberapa persoalan yang ada dan bermain-main dalam fikiran. Persoalan pokok ialah mengapa anda harus bekerja??. Adakah sebab kerana setelah habis belajar, tentulah kena kerja, nak cari duit tampung kehidupan dan menikmati apa yang diingini, saje suka-suka kerana kerja yang dilakukan itu adalah hobi atau mencari duit…duit… duit untuk bayar hutang piutang yang menimbun!. Ianya pendorong yang kuat untuk seseorang itu bekerja dengan bersemangat atau sebaliknya.

Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Professor Sidney Walter dari UCLA mengatakan “apakah tujuan sebenarnya anda bekerja?” dan kebanyakan jawapan ialah “nak cari duit”. Jawapan pada hakikat sebenarnya bukanlah untuk mencari duit — tapi sesuatu pekerjaan itu ialah untuk memberi khidmat kepada orang lain. Di mana setiap pekerjaan mempunyai motif yang sama iaitu “menolong dan berkhidmat untuk orang lain”. Sebagai contoh, cikgu kerjanya mengajar dan mendidik murid-murid lebih pandai, penyanyi tugasnya untuk menghiburkan hati para peminat, doktor pula untuk merawat dan memberi ubat bagi menyembuhkan pesakit manakala seorang isteri menolong kerja-kerja di rumah untuk suami dan keluarga tersayang dan lain-lain. Nah…nyata sekali asasnya ialah untuk “menolong”. Jika ianya masih atau tidak diterima pada hakikatnya, anda pasti tidak akan merasa gembira atau puas terhadap pekerjaan yang anda lakukan.

Selain daripada itu, “padanan jenis kerja” juga penting kepada setiap individu menurut kelebihan dan keunikan seseorang itu. Menurut kajian Professor Anita Blanchard, seorang pakar psikologi daripada University of North Caroline menyatakan bahawa terdapat 3 perkara yang mempengaruhi tahap kepuasan anda bekerja:-

  1. sejauhmanakah pekerjaan anda memberi kesan yang signifikan kepada orang lain?
  2. berapa banyakkah kebebasan yang anda perolehi dalam membuat sesuatu keputusan di dalam pekerjaan yang diceburi?
  3. berapa banyak perkara yang berlainan boleh anda perolehi di dalam pekerjaan yang dilakukan?

Ini sudah tentu membantu dan mendorong seseorang itu dalam mencari erti kepada tahap kepuasan kerja. Jika tidak ianya mungkin boleh menjadi sebaliknya kalau faktor-faktor yang negatif membelenggu hidup hingga terbitnya satu ketidakpuasan sehingga aliran diri untuk semangat  bekerja lebih kuat terhenti dan terbantut.

Bagaimanakah untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah tahap kepuasan kerja. Perkara yang perlu dilihat dan didalami ialah “anda harus belajar erti kerja yang dilakukan” bukan “sekadar tentang kerja sahaja”. Kebanyakan manusia enggan melalui proses ini kerana ianya adalah suatu kaedah pembelajaran yang membawa mereka TAKUT melakukan kesilapan. Lantas nanti mereka akan dikritik atau dihukum atas kesalahan. Ini adalah lumrah fitrah kehidupan manusia. Manusia akan menjadi defensif dan cuba melindungi diri.

Jika manusia sudah mampu untuk mencari kepuasan dan erti kerja sebenarnya, pasti maksud gembira, suka, bersemangat, produktiviti dan nilai positif terhadap kerja akan lahir dengan sendiri dan melebihi bayaran yang didapati. Masalah kerja dan rumah tidak seharusnya dicampuraduk kerana kesan jangka panjang amat buruk sekali. Sebenarnya tahap kepuasan kerja adalah bergantung kepada diri sendiri. Terdapat 6 komponen elemen lain yang menyumbang dalam pencarian kepuasan bekerja:-

  1. lebih interaksi atau bersosial dengan rakan sekerja anda. Ini akan melahirkan hubungan kerja yang baik dan hidup anda lebih gembira. Selalulah memberi pertolongan jika diminta, menjadi pendengar yang baik, berbincang perkara atau topik-topik yang menarik dan sebagainya
  2. Membina hubungan kepercayaan dari ketua kepada orang bawahan dan sebaliknya. Berilah ruang dan peluang yang cukup. Ini akan membawa suatu jalinan kepercayaan dan akan rasa hormat yang berpanjangan. Ketua harus mendengar pendapat dan rungutan para pekerja bawahan. Manakala pekerja bawahan harus menghormati dan mendengar arahan yang baik dari ketua. Mesti ada hubungan timbal balik yang positif bukan satu arah sahaja.
  3. Belajarlah apa yang harus anda jangka daripada kerja yang dilakukan. Ini akan membuatkan diri akan bersedia akan timbulnya perkara-perkara yang tidak dijangka. Di samping itu memperbaiki diri jika terdapat kesilapan yang dilakukan.
  4. Selalu dalam keadaan teratur dan terurus. Ini akan membuatkan diri anda “up-to-date” dan tahap kecapaian anda dalam banyak perkara menjadi mudah. Jika tidak anda akan menghadapi kesulitan dalam pekerjaan yang mudah dan teratur. Selalu membuat senarai keutamaan apa yang perlu didahului atau dikemudiankan.
  5. Jika anda mengalami stress atau penat dalam hari itu, ambil masa sebentar untuk rehat dengan senaman kecil yang boleh melegakan diri dan badan
  6. Selalulah berhati-hati. Sikap dan tingkahlaku individu amatlah berlainan antara satu sama lain. Berfikiran positif dapat merangsangkan pemikiran yang sihat bagi menghasilkan kerja yang produktif dan hubungan kerja yang baik

Bekerja bukan sahaja berkait rapat dengan tugasan yang perlu diselesaikan tetapi ianya ialah hubungan manusia yang memerlukan komunikasi intra dan inter yang efektif dan efisien. Mampu menyelami gelodak perasaan diri dan berempati terhadap mereka disekeliling. Komunikasi adalah  resepi dalam mencari pengkongsian makna di samping ilmu pengetahuan tentang tugasan.

Pekerjaan tidak akan membuat anda gembira, tetapi anda akan mencari makna terhadap kerja anda. Pasti nanti aku akan selalu ingin pergi kerja, gembira melakukan kerja dengan baik dan ikhlas, tersenyum dengan pujian atas kesungguhan kerja yang dilakukan dan akhirnya kepuasan kerja tercapai.

Chantekku yang Cantik

April 4, 2008

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Aku teruja dengan lagu dari Altimet Feat Adeep (Fabulous Cats). Sangat menarik dan penuh makna.. Melodi, tempo dan lirik yang digubah dan disusun telah menghasilkan maksud yang mendalam tentang cantik. Bertambah cantik dengan namanya yang Chantek…

Hey wanita
Gembira dapat berjumpa
Teringat kembali kali pertama kita bersua
Ingat bila kita bersepatu serupa
Tak lama dahulu jangan kau kata kau dah lupa

Kau bersama kawan-kawan muda yang nyata
Kau paling menyerlah di antara mereka
Rambut hitam warna cokelat anak mata
Membuat aku kurang fasih bila bicara

Apakata kita ambil sedikit masa
Untuk mengenali sesama kita dengan lanjutnya
Dan jika kau rasa apa yang ku rasa
Ayuh kita ke bab kedua dan seterusnya

Chantek
Dirimu buat ku tertarik
Menghilang segala prasangka
Di jiwa
Ohh chantek
Sungguh aku cinta kamu

Dia
Pandai menjaga hati ayah dan ibunya
Kelakuannya sama dengan orang tuaku juga
Dia
Bisa cipta yg gula dari yang cuka
Pandai menukar yg duka kepada suka
Dia
Bijak mengatur acara dan juga masa
Cekap memasak garam gula secukup rasa
Dia
Pandai menjaga harta dan juga duitnya
Tetap anggun tanpa mendedahkan kulitnya
Dia
Setia pada Yang Esa satu-satunya
Memenuhi tanggungjawab 5 waktunya
Dia
Punya tempat dalam rancangan yg ku rangka
Tak usah lengah
Ayuh kita berumah tangga

Chantek
Sechantek suria menyinar
Seindah bunga yang di taman..mekar
Chantek
Dirimu buat ku tertarik
Menghilang segala prasangka
Di jiwa
Oohhh chantekk
Sungguh aku cinta kamu

Aku
Melihat kita bersama di hari tua
Dia
Masih satu tiada empat tiga atau dua
Dan walaupun kau sudah kepudaran rupa
Kau tetap cantik padaku aku tak lupa
Kita bersama di anjung luangkan masa
Kewangan kita merdeka mampu bersara
Hasil usaha kita dari masa dahulu
Cukup untuk mengisi perut anak dan cucu
Hidup santai tak perlu terburu-buru
Punya masa kerja ibadah dan juga ilmu
Anak kita dan ayahya semua sebulu
Aku bilang kau chantek dan mereka setuju

Chantek
Sechantek suria menyinar
Seindah bunga yang di taman..mekar
Chantek
Dirimu buat ku tertarik
Menghilang segala prasangka di jiwa
Ohh chantek
Sungguh aku cinta kamu

Moga kita semua akan cantik-cantik seperti lirik lagu ini. Ini adalah kesinambungan entri sebelum tentang keterujaan dan kepadahan tentang cantik….

Keterujaan dan Kepadahan

April 4, 2008

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Wahhhhh…..lawanya perempuan itu?…. kulit dia licin, pipi gebu, hidungnya mancung, bibirnya yang munggil dan semua-semualah dengan badannya yang langsing ….emmmm tentu semua orang akan jatuh cinta dengan dia…wahhh…tentu pasaran saham tinggi… hanya yang kaya dan handsome boleh pikat dia jer….

Bukan sahaja yang handsome tetapi deretan mereka  yang kaya-raya tanpa wajah menarik sudah memasang angan-angan untuk mengambil perempuan-perempuan yang cantik itu sebagai calon isteri atau teman hidup. Wahhhh…bertuah badanlah pada mereka yang mempunyai cici-ciri yang sebegitu….tanpa perlu berusaha atau mempunyai kelebihan lain telah berjaya memikat lelaki handsome atau yang kaya-raya.

Alamat perempuan-perempuan yang biasa-biasa atau kurang ayu atau menarik wajahnya, terlepaslah untuk memiliki lelaki-lelaki yang handsome dan kaya raya ini. Mungkin sudah fitrah alam dan kejadiaanNYA. Tentu ada hikmah disebalik ciptaanNYA.

Woww….kau tengok lelaki tu…. boleh cair aku lihat… handsome bangetlah. Badan dia yang sasa dan tinggi. Ermmm….bestnya kalau jejaka tu jadi pakwe aku. Lelaki itu drive kereta mewahlah, tengok pakaian dia, lihat barangan yang digunakan, semuanya mahal-mahal dan bergaya sekali.

Kata-kata di atas adalah luahan yang mungkin timbul dan ada serta terlintas di fikiran manusia yang teruja pada kecantikan dan kekayaan. Maksud “kecantikan ialah kesemuanya tentang perihal cantik dan keelokkan (rupa muka, benda dan lain-lain). Kemolekan dan keindahan untuk menjadi lebih cantik bagi menghias muka agar sangat menarik apabila dipandang orang mereka yang berlawan gender”. Itulah maksud yang diberikan oleh Kamus Dewan.

Pernahkah anda semua terlintas dalam fikiran soalan-soalan di bawah mengenai kecantikan yang berpaksikan kecantikan luaran?

  1. Apakah maksud “cantik” sebenar-benarnya?
  2. Apakah perasaan hidup menjadi cantik?
  3. Bagaimanakah kehidupan dikelilingi mereka yang cantik-cantik?  
  4. Bagaimanakah cantik mempengaruhi diri dan mereka di sekeliling anda?
  5. Adakah cantik itu terlalu subjektif?
  6. Sejauhmanakah  maksud “cantik” is at the eye of the beholder benar-benar jujur dan ikhlas?
  7. Apakah ada motif atau niat yang ingin dipasang bila dan sudah cantik?
  8. Mengapakah manusia terlalu inginkan cantik luaran menyelubungi mereka?
  9. Bilakah waktu dan masa cantik dieksploitasi dan mengeksploitasi?
  10. Mengapakah manusia sanggup mempertaruhkan risiko yang tinggi untuk kelihatan cantik?
  11. Mengapakah manusia rela menggadaikan nyawa untuk menjadi cantik?

Bila bercakap tentang cantik maka berbagai persoalan melayang difikiran. Menjadikan diri melontarkan berbagai bentuk soalan dan pertanyaan, mengapakah kecantikan sering menjadi rebutan dan keutamaan. Namun ada juga kesan dan akibat bila cantik :-

  • Kerana “cantik” jugalah, sering timbul pergaduhan sesama manusia yang berebut cinta
  • Kerana “cantik” jugalah, ada manusia yang terkorban dan mengorban diri serta memendam perasaan
  • Kerana “cantik” jugalah, perasaan dengki dan khianat atas rasa ketidakpuasan bersemi dihati
  • Kerana “cantik” jugalah, menuntut dan menguji manusia untuk berlaku lebih setia 
  • Kerana “cantik” jugalah, manusia terpaksa melawan kesepian  

Atas dasar untuk “jadi cantik”, “kelihatan cantik” dan “selalu cantik” inilah menjadi faktor-faktor pendesak dalam pegangan kehidupan manusia untuk berubah. Menjadi topeng yang menutupi segala kecacatan yang ada. Mengaburi mata manusia untuk melekat pada keindahan kecantikan luaran. Kekadang sehingga menolak ketepi kecantikan dalaman yang suci dan kekal itu. Lantaran, berlakulah sesuatu yang membuatkan diri tersentuh, menyakitkan hati, mengecewakan jiwa, memendamkan perasaan, mengecilkan sanubari dan menghantui fikiran kepada kepura-puraan kecantikan luaran. Akhir sekali manusia barulah sedar dan kembali melihat kecantikan dalaman sebagai penyelamat perasaan yang sememangnya indah, suci dan mendamaikan.

“Aku nak cantik macam artis itu dan ini”…”Aku nak saiz S”…menjadikan manusia sanggup melakukan apa sahaja demi hajat tertunai. Manakala pengeluar barangan kecantikan pula berebut-rebut untuk menghasilkan pelbagai produk yang menjanjikan seribu satu hasil yang menawan dan berkesan. Ini menyebabkan kes-kes penipuan untuk “meragut” keuntungan di atas desakan manusia yang inginkan kecantikan. Dalam satu kenyataan di dalam sebuah akhbar mengatakan lebih 100 syarikat yang mengeluarkan produk berasaskan kecantikan serta kesihatan tradisional dan herba di negara ini dikesan menggunakan bahan larangan yang boleh memudaratkan pengguna. Produk-produk yang membabitkan kecantikan muka dan bahan pelansing. Walaupun pantauan sering dilakukan dari masa kesemasa oleh pihak berwajib dan juga aduan yang diterima dari pengguna sehingga berjaya menumpaskan kegiatan ini, namun pengeluar masih terus menerus untuk menghasilkan produk dari bahan larangan ini. Ini mungkin atas sebab pengguna lain yang tegar dan tidak serik-serik untuk kelihatan cantik dan kurang membuat penyelidikan terlebih dahulu terhadap produk itu samada betul dan benar-benar keasliannya dan jaminan kebekersanan.

Kebanyakan bahan larangan ini datang dari negara China dan mengimportnya secara diam-diam dan dibungkus dengan menggunakan jenama tempatan. Akibatnya, pengguna tertipu dengan produk palsu seperti krim malam, krim pencerah dan krim jerawat yang menyebabkan rupa paras menjadi hodoh seperti kulit mengelupas, bertompok-tompok, jerawat yang lebih teruk dan bermungkinan menjadi kanser kulit. Lebih merbahaya daripada itu, ianya boleh menyebabkan nyawa terancam.

Kekadang produk-produk ini bukan sahaja mahal tetapi bayaran dari pusat kecantikan yang mengenakan caj yang tinggi untuk sesi-sesi pemulihan rawatan muka. Lebih teruk daripada itu hasilnya tidak menjadi setelah mendapat perkhidmatan konsultasi serta sesi rawatan dan padahnya menerima allegi akut yang tinggi. Pengguna menjadi mangsa yang parah.

Walaupun denda yang dikenakan agak yang tinggi dan arahan penutupan syarikat, namun masih banyak syarikat pengeluar barangan kecantikan ini yang degil dan tegar serta berani kembali untuk berada di pasaran dengan menukar strategi menggunakan jenama produk lain bagi mengelirukan pelanggan baru ataupun yang lama.

Ketamakan dalam mengaut keuntungan tinggi oleh syarikat-syarikat pengeluar ini adalah atas ketaksuban pengguna yang terlalu inginkan diri kelihatan cantik dan menarik. Mereka yang taksub untuk cantik mungkin atas sebab-sebab berikut:-

  1. Untuk mengekalkan diri bagi menawan hati suami-suami mereka yang tersayang agar terus kekal bersama
  2. Untuk menarik perhatian atau menggoda lelaki
  3. Faktor akademik dan pengalaman merupakan penyumbang utama dalam pencarian kerja, namun sedikit sebanyak kecantikan akan mempengaruhi keputusan dalam temuduga mencari kerja. Rata-rata yang cantik amat mudah untuk mendapat kerja. Itu bukan rekaan kerana fitrah manusia sememangnya suka yang cantik-cantik
  4. Dalam kehidupan sosial seharian, berinteraksi sesama manusia, ketika membeli belah, ketika menunggu makanan atau barang dan sebagainya, faktor kecantikan kekadang menyuntik kepada ketidakadilan atau bias. Manusia mudah membuat stereotaip tentang kecantikan luaran lebih berpihak berbanding dengan kecantikan dalaman. Mereka yang cantik sering mendapat perhatian

Kecantikan mengheret dunia keglamoran, kekayaan, ketamakan dan kegilaan. Jika kurang pertimbangan mungkin terbit riak yang melampau, sombong meninggi, ego keterlaluan dan ketegak melangit atas kelebihan yang ada.

Pada hakikatnya, kecantikan luaran hanya bersifat sementara kerana kepudaran rupa akan menerpa. Hanya kecantikan dalaman akan kekal selamanya. Kemolekan dalaman seperti kejujuran, keikhlasan, rasa tanggungjawab, amanah dan lain-lain nilai diri yang tinggi dalam diri seseorang itu sebenarnya seperti kosmetik yang tak akan hilang walaupun sudah dicuci berulangan dan terus melekat sebagai penghias diri dan prinsip yang dipegang. Kecantikan beriringan dengan isian ilmu pengetahuan di dada sebagai memenuhi otak fikiran akan menjadi seseorang itu bukan sahaja cantik dipandang tetapi akan dihormati akan ilmu-ilmu yang ada. Pegangan agama mendasari segalanya.

Arrghhhhhhhh…aku suka cantik, aku nak cantik, aku nak kekal cantik dalaman dan luaran…..