Archive for April 7th, 2008

Aku suka kerja… Aku benci kerja… Aku mesti kerja… di mana titik kepuasannya?

April 7, 2008

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Bangun…bangun… dah pagi ini! Samada dikejutkan oleh jam loceng, ibu, isteri, suami atau tersedar dengan sendirinya, pasti di pagi itulah bermulanya untuk hari baru. Bagi merencanakan satu lagi peristiwa atau menimba pengalaman yang pasti menarik dan menyeronok atau sebaliknya. Hari yang bakal memberi seribu satu lagi pengajaran atau ilmu baru.

Pernahkah atau selalukah diri anda merasakan….arrrghhhhhhhhh…. kena pergi kerja ker?.. eeeeiii.. “MALASNYEE”… samada faktor…sememangnya malas, letih, bosan dengan kesesakan jalanraya, boss yang garang dan menjengkelkan, keadaan tempat kerja yang memeningkan kepala, terpaksa bekerja dan lain-lain. Ianya pasti memberi tekanan dan meletihkan hari dan hidup anda. Melakukan sesuatu perkara dalam keadaan “terpaksa” dan hampir tidak ikhlas hingga timbul perasaan “meluat”.

Tak boleh ker aku duk kat rumah?. nak panjangkan badan, nak besarkan badan, nak manja-manjakan diri dan badan… (heheheee…ini semua perumpamaan untuk merehatkan diri dan badan dalam erti kata sebenarnya) . Dalam hidup realiti pada mereka yang bekerja, hanya pada ketika cuti hujung minggu, tahunan atau sakit sahaja boleh direalisasikan. Hidup ini penuh dengan tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan, walaupun terpaksa.

  1. Kenapa dan mengapakah manusia jadi begitu?
  2. Apakah faktor-faktor yang mendorong situasi sedemikian melanda?
  3. Apakah kepuasan kerja yang sebenar-benarnya?
  4. Sejauhmanakah manusia mampu mengubah sesuatu situasi yang bermasalah itu atau mereka hanya mendiamkan diri sahaja?
  5. Bagaimanakah untuk menghalang atau menghindari perasaan negatif tentang ketidakpuasan bekerja?

Itu mungkin beberapa persoalan yang ada dan bermain-main dalam fikiran. Persoalan pokok ialah mengapa anda harus bekerja??. Adakah sebab kerana setelah habis belajar, tentulah kena kerja, nak cari duit tampung kehidupan dan menikmati apa yang diingini, saje suka-suka kerana kerja yang dilakukan itu adalah hobi atau mencari duit…duit… duit untuk bayar hutang piutang yang menimbun!. Ianya pendorong yang kuat untuk seseorang itu bekerja dengan bersemangat atau sebaliknya.

Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Professor Sidney Walter dari UCLA mengatakan “apakah tujuan sebenarnya anda bekerja?” dan kebanyakan jawapan ialah “nak cari duit”. Jawapan pada hakikat sebenarnya bukanlah untuk mencari duit — tapi sesuatu pekerjaan itu ialah untuk memberi khidmat kepada orang lain. Di mana setiap pekerjaan mempunyai motif yang sama iaitu “menolong dan berkhidmat untuk orang lain”. Sebagai contoh, cikgu kerjanya mengajar dan mendidik murid-murid lebih pandai, penyanyi tugasnya untuk menghiburkan hati para peminat, doktor pula untuk merawat dan memberi ubat bagi menyembuhkan pesakit manakala seorang isteri menolong kerja-kerja di rumah untuk suami dan keluarga tersayang dan lain-lain. Nah…nyata sekali asasnya ialah untuk “menolong”. Jika ianya masih atau tidak diterima pada hakikatnya, anda pasti tidak akan merasa gembira atau puas terhadap pekerjaan yang anda lakukan.

Selain daripada itu, “padanan jenis kerja” juga penting kepada setiap individu menurut kelebihan dan keunikan seseorang itu. Menurut kajian Professor Anita Blanchard, seorang pakar psikologi daripada University of North Caroline menyatakan bahawa terdapat 3 perkara yang mempengaruhi tahap kepuasan anda bekerja:-

  1. sejauhmanakah pekerjaan anda memberi kesan yang signifikan kepada orang lain?
  2. berapa banyakkah kebebasan yang anda perolehi dalam membuat sesuatu keputusan di dalam pekerjaan yang diceburi?
  3. berapa banyak perkara yang berlainan boleh anda perolehi di dalam pekerjaan yang dilakukan?

Ini sudah tentu membantu dan mendorong seseorang itu dalam mencari erti kepada tahap kepuasan kerja. Jika tidak ianya mungkin boleh menjadi sebaliknya kalau faktor-faktor yang negatif membelenggu hidup hingga terbitnya satu ketidakpuasan sehingga aliran diri untuk semangat  bekerja lebih kuat terhenti dan terbantut.

Bagaimanakah untuk mengatasi dan menyelesaikan masalah tahap kepuasan kerja. Perkara yang perlu dilihat dan didalami ialah “anda harus belajar erti kerja yang dilakukan” bukan “sekadar tentang kerja sahaja”. Kebanyakan manusia enggan melalui proses ini kerana ianya adalah suatu kaedah pembelajaran yang membawa mereka TAKUT melakukan kesilapan. Lantas nanti mereka akan dikritik atau dihukum atas kesalahan. Ini adalah lumrah fitrah kehidupan manusia. Manusia akan menjadi defensif dan cuba melindungi diri.

Jika manusia sudah mampu untuk mencari kepuasan dan erti kerja sebenarnya, pasti maksud gembira, suka, bersemangat, produktiviti dan nilai positif terhadap kerja akan lahir dengan sendiri dan melebihi bayaran yang didapati. Masalah kerja dan rumah tidak seharusnya dicampuraduk kerana kesan jangka panjang amat buruk sekali. Sebenarnya tahap kepuasan kerja adalah bergantung kepada diri sendiri. Terdapat 6 komponen elemen lain yang menyumbang dalam pencarian kepuasan bekerja:-

  1. lebih interaksi atau bersosial dengan rakan sekerja anda. Ini akan melahirkan hubungan kerja yang baik dan hidup anda lebih gembira. Selalulah memberi pertolongan jika diminta, menjadi pendengar yang baik, berbincang perkara atau topik-topik yang menarik dan sebagainya
  2. Membina hubungan kepercayaan dari ketua kepada orang bawahan dan sebaliknya. Berilah ruang dan peluang yang cukup. Ini akan membawa suatu jalinan kepercayaan dan akan rasa hormat yang berpanjangan. Ketua harus mendengar pendapat dan rungutan para pekerja bawahan. Manakala pekerja bawahan harus menghormati dan mendengar arahan yang baik dari ketua. Mesti ada hubungan timbal balik yang positif bukan satu arah sahaja.
  3. Belajarlah apa yang harus anda jangka daripada kerja yang dilakukan. Ini akan membuatkan diri akan bersedia akan timbulnya perkara-perkara yang tidak dijangka. Di samping itu memperbaiki diri jika terdapat kesilapan yang dilakukan.
  4. Selalu dalam keadaan teratur dan terurus. Ini akan membuatkan diri anda “up-to-date” dan tahap kecapaian anda dalam banyak perkara menjadi mudah. Jika tidak anda akan menghadapi kesulitan dalam pekerjaan yang mudah dan teratur. Selalu membuat senarai keutamaan apa yang perlu didahului atau dikemudiankan.
  5. Jika anda mengalami stress atau penat dalam hari itu, ambil masa sebentar untuk rehat dengan senaman kecil yang boleh melegakan diri dan badan
  6. Selalulah berhati-hati. Sikap dan tingkahlaku individu amatlah berlainan antara satu sama lain. Berfikiran positif dapat merangsangkan pemikiran yang sihat bagi menghasilkan kerja yang produktif dan hubungan kerja yang baik

Bekerja bukan sahaja berkait rapat dengan tugasan yang perlu diselesaikan tetapi ianya ialah hubungan manusia yang memerlukan komunikasi intra dan inter yang efektif dan efisien. Mampu menyelami gelodak perasaan diri dan berempati terhadap mereka disekeliling. Komunikasi adalah  resepi dalam mencari pengkongsian makna di samping ilmu pengetahuan tentang tugasan.

Pekerjaan tidak akan membuat anda gembira, tetapi anda akan mencari makna terhadap kerja anda. Pasti nanti aku akan selalu ingin pergi kerja, gembira melakukan kerja dengan baik dan ikhlas, tersenyum dengan pujian atas kesungguhan kerja yang dilakukan dan akhirnya kepuasan kerja tercapai.