Archive for July, 2008

Beritahu Mereka Fakta dan Kebenarannya

July 28, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Scenario dunia kepolitikan Malaysia dilihat kian keruh dan ketidakstabilan menyelubungi. Berbagai peristiwa, khabar berita, spekulasi, persepsi dan sebagainya telah disensasikan kebenarannya. Sehingga RAKYAT terkena tempias yang hebat sekali. Beginikah kesan dan kehendak para pemimpin dan jenteranya??. RAKYAT mencari-cari kebenaran dari berbagai sudut dan aspek agar tidak tergelincir daripada landasan ketelusan dan ketulusan. Malah tersepit dan terdesak dalam arus kehidupan dari kesan politik ke ekonomi yang pincang.

Secara mudah, RAKYAT kini membuat andaian bahawa KERAJAAN lemah dari segi kepimpinan dan ketidakstabilan dalam politik, sehingga membawa kurangnya kepercayaan. Rata-rata, melihat tiada petunjuk atau arah yang jelas yang mana RAKYAT sebenarnya inginkan kepimpinan yang kuat dan teguh. Tapi malangnya, ciri-ciri yang patut ada dalam diri seorang pemimpin yang sebenar kabur hingga RAKYAT keliru.

  • Yang lemah terus lemah tanpa ingin rasa untuk memperbaiki kelemahan itu
  • Yang mengambil kesempatan telah menunggu untuk mencucuk jarum atas ruang dan peluang tersebar menunggu
  • Yang mempunyai masalah tanpa ingin mencari solusinya
  • Yang tegar mencari kekayaan terus menerus mengaut keuntungan untuk beberapa keturunan generasi akan datang
  • Yang ghairah mencipta sejarah terus melakar sejarah untuk tatapan masa hadapan atas kepincangan atau kemegahan

Adakah berita inflasi di takuk 5% – 6% berada di tahap yang biasa atau KERAJAAN tidak mahu menyatakan tahap inflasi sebenarnya kepada RAKYAT supaya tidak berlakunya kekecohan atau kegawatan. Mungkin sebenarnya inflasi berada di tahap 9%. Diri hanya membuat andaian kerana semua barangan dan perkhidmatan telah naik harga. Nilai RM100 telah menjadi RM50 buat masa kini. Itulah yang menyebabkan RAKYAT menjadi marah dan tak keruan.

Isu asas ialah janji KERAJAAN sebelum pilihanraya untuk mengkaji dasar subsidi yang bakal memberi faedah pada mereka yang kurang berkemampuan. Tapi malangnya, selepas pilihanraya, tanpa diduga kajian subsidi telah melompat kehadapan sehingga memberi kejutan mendadak iaitu kenaikan harga minyak yang drastik. Kejutan demi kejutan dan terbitlah kemarahan RAKYAT tanpa dapat dibendung. Jangan salahkan mereka yang menunggu dan menghidu kelemahan ini, sudah tentu ekspoitasi secara semulajadi hadir.

Ada pihak-pihak tertentu dalam agenda mereka untuk mengaut keuntungan, cuba menghuru-hara keadaan, mengadu domba melalui tomahan, mempertikaikan perlembagaan dan hak, isu-isu agama diperkotak-katik serta dipersendakan. Ceramah retorik dan meraih simpati. Hati-hati wahai pemimpin, dalam terlalu inginkan kepercayaan RAKYAT, sanggup menabur janji-janji manis, memberi harapan menggunung dan keyakinan tak berbelah bagi. Tapi, akhirnya semua bagai tong kosong dan omongan palsu. RAKYAT hampa dan terkilan.

Ada ayat-ayat mengatakan bahawa, mudah untuk mengeluarkan apa sahaja bila tidak berada di posisi di dalam sesebuah pentadbiran dan apabila anda berada di lingkungannya, anda sendiri juga akan ikut sama dan tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Dalam kata lain…. mudah nak kata apa saja…. cubalah kalau boleh. Jika mandat dan kuasa telah diberi, itulah mulanya amanah dan tanggungjawab yang harus disegera dan ditunaikan.

Jangan nanti RAKYAT jelak dan muak dengan scenario ini. RAKYAT inginkan jawapan jika pihak KERAJAAN telah dan mempunyai pilihan atau jalan alternatif dalam mengatasi dan menangani masalah yang membelenggu negara. Jikalau, RAKYAT tahu, tentu kepercayaan dan sokongan tanpa berbelah bagi akan berterusan. KERAJAAN harus memikirkan perancangan dan strategi yang terbaik untuk masa hadapan. Krisis yang melanda kini merupakan pertaruhan masa. Ironinya, ianya adalah peluang yang terbaik untuk KERAJAAN dalam membuktikan tanggungjawab kepada RAKYAT. Di sini, cabaran untuk KERAJAAN kerana masa bergerak dan RAKYAT menunggu bagaimana respond daripadanya.

Beritahulah RAKYAT akan fakta dan kebenarannya. Berkongsilah demi ketelusan dan ketulusan. Bersedia dengan kemungkinan yang mendatang serta solusi menerusi pelan tindakan berkesan yang mampu untuk mengatasi. Tentu RAKYAT akan faham dan bersedia berdiri bersama-sama untuk dan dengan KERAJAAN.

Advertisements

Lelaki Mengandung?

July 27, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Berita gempar ini telah mendapat perhatian di seluruh dunia terutama di barat. Media memberi tumpuan hebat akan “keajaiban” peristiwa ini. Namun, fitrah kejadian manusia tiada tandingan dariNYA. DIA yang mencipta sebaik-baiknya dan peristiwa ini adalah atas nama kemajuan teknologi di bidang sains biologi semata-mata. Pemahaman dan ikutan songsang manusia cuba melawan fitrahNYA akan membawa dan mendorong kecelaruan serta kekeliruan dalam institusi kekeluargaan. Lebih buruk daripada itu, implikasi yang negatif di dalam keharmonian masyarakat tercemar di masa hadapan.

Video di bawah “bercakap” dengan sendirinya…..

[redlasso id=”6198fb91-c2f3-4ec3-84fe-99d41d30ac63″]

“Babel”

July 13, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

“Babel” sebuah cerita yang ditayangkan di Star Movie. Menurut kamus Cambridge – Babel barmaksud “a state of confusion caused by many people talking at the same time or using different languages”. Ceritanya agak berat penuh dengan persoalan minda, kocakan hati dan debaran perasaan yang membawa kepada konflik kekeliruan. Kenapa dan mengapa? Kaitan dari satu babak ke babak yang begitu terperinci walaupun berlangsung selari dan serentak di berlainan benua, negara, ekonomi, sosial, budaya, bahasa dan bangsa. Bagaimana seorang penulis skrip mampu mengkait dan membuat kolerasi watak dengan peristiwa, tempat kejadian, tujuan dalam mencapai maksud dan mesej yang ingin disampaikan. Di samping itu kreativiti pengarah telah menghidupkan peranan menerusi jalan ceritanya.

Sungguh dramatik, tragis dan penuh dengan kesinisan. Cerita bermula di Morocco mengenai seorang lelaki yang telah menjual selaras senapang kepada jirannya untuk kegunaan keselamatan kambing bebiri dari serangan serigala. Senapang itu wujud atas pemberian terima kasih oleh seorang pelancong Jepun kepadanya. Pada suatu hari, pembeli senapang itu telah menyerahkannya kepada anak-anak beliau bagi menjaga kambing bebiri dan atas perasaan ingin tahu yang mengatakan peluru senapang ini boleh mensasarkan pada kejauhan 3 km, maka kanak-kanak tersebut telah menembak secara rambang jauh dari gunung. Datang sebuah bas, sarat dengan pelancong barat sedang melalui kawasan pergunungan tersebut. Tanpa berfikiran jauh, adik-beradik ini telah melepaskan tembakan ke arah bas tersebut yang pada fikiran mereka tidak akan kena kerana jauh kedudukan.

Tanpa diduga, seorang pelancong di dalam bas tersebut yang sedang tidur, terkena tembakan. Lantas berlakulah situasi kelam kabut dan tidak keruan. Cuba mencari hospital tetapi jauh kedudukannya, terpaksa berpatah balik dan akhirnya singgah ke satu kawasan perkampungan. Penduduk terpaksa memberi pertolongan cemas dan terdapat seorang doktor haiwan yang hanya mampu merawat dan memberi jahitan dalam peralatan yang serba kekurangan bagi menyelamatkan nyawa. Kekecohan berlaku, timbullah sikap dan sifat manusia yang tamak dan tidak bertolak ansur apabila orang lain dalam kesusahan. Hanya cuba ingin melepaskan tengkuk masing-masing.

Pelancong-pelancong lain gusar dan tidak mampu menolong dan menunggu rakan yang ditembak. Sikap tamak, pentingkan diri, tak selesa dan takut bahaya lain akan menimpa diri sehingga membiarkan pasangan pelancong itu di rumah perkampungan sementara menunggu helikopter. Kecoh dengan berita yang cepat tersebar mengatakan tembakan itu adalah hasil daripada serangan pengganas islam anti barat tanpa ada usul periksa yang nyata. Itulah persepi dangkal pihak barat yang terus membuat terjahan melampau. 

Takut dengan maruah negara tercalar, pihak polis tempatan telah menjejaki pemilik senapang tersebut. Menyoal dan bertindak kasar dengan memukul dan menerajang lelaki yang menjual senapang itu bagi mendapatkan maklumat. Berbagai insiden berlaku dan akhir sekali, pembeli senapang dan anak-anaknya telah melarikan diri tetapi berjaya disekat dan berlakulah adegan tembak-menembak yang membawa kematian kepada kanak-kanak tersebut. Hanya berpunca dengan tembakan rambang tanpa niat untuk membunuh membawa kematian dan kehancuran kepada sebuah keluarga. Sayu sekali adegan ini kerana memperlihatkan perasaan kasih sayang, ketakutan, keberanian yang wujud dalam sebuah keluarga.

Akibat tembakan itu, pasangan barat itu tidak dapat pulang awal yang mana anak-anak mereka dijaga oleh seorang pembantu rumah berbangsa Mexico bekerja secara haram di Amerika. Pembantu rumah ingin pulang ke Mexico atas majlis perkahwinan anak lelaki tetapi bagaimana pula anak-anak majikannya. Terpaksa juga membawa anak-anak majikan walaupun menjadi kesalahan. Namun apakan daya tiada siapa yang boleh menjaga mereka. Terhimpit dalam situasi rayuan majikan dan kehendak keluarga. Setelah habis majlis, ketika pulang ke sempadan mereka telah disyaki cuba menculik kanak-kanak dan takut dengan keadaan tersebut beliau telah melepasi kawalan keselamatan dan menjadi buruan polis. Akhir sekali, mereka tertangkap dan pembantu itu disabitkan kesalahan menculik dan pendatang haram. Namun, majikan telah mengugurkan dakwaan dan pembantu itu kehilangan pekerjaan dan dihantar pulang ke Mexico walaupun telah menjadi pembantu rumah untuk beberapa lama sebelum itu. Itulah tuntutan dalam perjalanan mencari rezeki dan permintaan ehsan majikan yang telah menjerat diri. Pendatang haram menjadi masalah negara bagi pihak Amerika.

Manakala, pemberian senapang oleh pelancong Jepun juga berhadapan dengan krisis iaitu masalah dorongan ingin tahu anak perempuannya. Masalah perasaan terlalu ingin tahu bagaimanakah hubungan seks dilakukan.  Masalah dalaman keluarga. Anak perempuannya cuba mengoda lelaki atas perasaan dan keinginan seks. Berbagai peristiwa berlaku, akhir sekali, anak perempuan yang kematian ibunya akibat membunuh diri, telah menjalinkan hubungan sumbang mahram dengan bapanya. Itulah juga kekeliruan dan masalah penyakit sosial yang kian merebak dan bakal memberi padah.  

Melalui jalan cerita dan pemasalahan yang timbul, hanya dengan selaras senapang telah membawa persepsi sempit dan tersasar manusia dalam membuat pertimbangan. Ianya telah membawa kaitan peristiwa yang saling kena-mengena walaupun jauh kedudukan dan berlainan bangsa di serata dunia.

Cerita-cerita begini tentu tidak menarik perhatian ramai penonton kerana jalan ceritanya yang tidak memberi keseronokan jiwa dan perasaan. Tetapi mesej yang ingin disampaikan adalah realiti sebenar dunia tentang apa yang terjadi, perangai dan tingkahlaku manusia bila berhadapan dengan masalah, krisis dan desakan. Bagaimana manusia sewenang-wenang mengambil kesempatan, membuat andaian serta tidak melihat implikasinya sehingga memberi kekeliruaan yang nyata dan jelas.

Adakah penjalanan arus dunia berkehendakan manusia bertindak kejam, ganas dan tidak bernas. Terlalu emotional. Toleransi dan kompromi sudah semakin menyusut dalam pertimbangan pemikiran manusia. Adakah kini, dunia telah banyak mencipta lebih banyak sikap dan sifat manusia ke arah minda dan perasaan “kebinatangan”. Menyisih dan menghilangkan keharmonian dan kesejahteraan. Bangkitlah…Bersatulah….mungkinkah????

Tak Perlu Bawa Beg ke Sekolah?

July 13, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Itulah tajuk artikel dari sebuah akhbar (Harian Metro/9 Julai 2008 ) mengenai perkembangan dan kemajuan terkini teknologi  yang bakal menempuh corak pembelajaran masa hadapan murid-murid. Idea perlaksanaan ini, ingin direalisasikan oleh sebuah syarikat iaitu Paperless Homework Sdn Bhd (Paperless) dalam memperkenalkan sistem pembelajaran pintar dan efektif.

Ianya satu cabaran kepada kaedah pembelajaran tradisional vs moden. Menurut idea ini, ianya mampu menjimatkan masa, tidak perlu proses salin-menyalin, pengurangan penggunaan kertas, menyelamatkan alam sekitar, lebih interaktif, meningkatkan kreativiti dan sebagainya. Lebih menarik daripada itu, ianya amat mudah dan boleh digunakan walaupun seseorang itu tidak celik teknologi maklumat menerusi perisian yang telah dibangunkan iaitu “Age”. Bahkan, ianya juga boleh menangani masalah bagi sekolah yang kurang berkemampuan memiliki perkakasan komputer yang terkini terutama di luar bandar dengan ciri-ciri hebat yang ada di dalamnya.

Suatu jaminan yang menarik perhatian dan mampu untuk mengubah kaedah pembelajaran terkini. Perisian yang pintar dan efektif adalah kunci dan mesej yang ingin diketengah dan diterapkan. Adakah nanti murid-murid menjadi malas untuk mendekatkan diri kepada buku jika semua hanya diberikan dalam bentuk “softcopy“? Semua maklumat dalam bentuk perisian akan disimpan dalam bentuk pemacu USB. Bagaimana nanti jika diserang virus-virus dan sudah tentu peningkatan kos kawalan dan benteng. Adakah kaedah ini benar-benar telah diuji dan melihat dengan lebih menyeluruh dan terperinci aspek-aspek pembelajaran terdahulu yang membawa kejayaan terkini.

Pada pandangan diri, apabila sesuatu idea diperkenalkan adalah berpunca daripada masalah yang timbul iaitu rungutan ibubapa yang mengambil berat tentang jadual dan buku-buku yang terlalu banyak harus dibawa oleh murid-murid ke sekolah. Menjadi bebanan berat untuk membawa dan mengheret beg sekolah yang kadang-kadang tak sesuai dengan saiz badan dan juga takut nanti didenda serta dimarahi oleh guru sekolah jika tertinggal. Lantaran itu, timbullah idea sedemikian. Ianya bagaikan pencetus kepada idea yang selari dengan perkembangan teknologi terkini. Nampak canggih dan terkehadapan, tetapi ciri-ciri pembelajaran tradisional masih lagi perlu dan harus kekal kerana ada aspek-aspek penting yang memerlukan kertas sebagai bentuk atau bukti sesuatu infomasi pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan dan hasil tindakbalas daripada murid-murid. 

Keadah Paperless ini hanya boleh dilaksanakan untuk sesuatu perkara dalam beberapa matapelajaran. Buku dan kertas latihan harus kekal digunakan kerana ianya secara lazim telah dapat menambahkan ilmu dan menguji minda murid-murid dilayar kertas. Segalanya dalam bentuk pembelajaran yang melibatkan teknologi maklumat hanya sebagai maklumat tambahan dalam mendedahkan dan menyesuaikan diri murid-murid dalam bidang ini dengan aspek menarik seperti grafik, video dan audio untuk lebih celik IT yang pesat membangunkan.

Mungkin suatu hari nanti, di masa hadapan yang mana sememangnya keadaan telah mendesak manusia menerima perubahan ini dengan tanpa tapi lagi untuk sistem pembelajaran yang sedemikian. Dalam apa jua perubahan yang ingin dilakukan perlulah ada penerimaan secara menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan tepat dan berkesan.

Dari KL ke Jakarta

July 8, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Tuntutan kerja buat aku diterbangkan dan berlepas ke Jakarta. Ada tugasan dan mesyuarat yang harus kami hadiri dan selesaikan. Penerbangan yang mengambil masa 2 jam dan perbezaan masa 1 jam antara Malaysia dan Indonesia. Seramai 4 orang yang pergi ke Jakarta kali ini. Pesawat berlepas dengan baik dan cuaca terang petang itu. Seperti biasa apabila aku perlu menaiki kapal terbang, ubat untuk telinga berdesing harus aku telan 1 jam sebelum berlepas. Mungkin kesihatan telinga aku tak sebaik telinga-telinga mereka yang lain. Tanpanya nanti, di atas pesawat sakit telingaku berdesing-desing dan berdegung-degung dibuatnya. Nasib badan….

Jauh di awan biru, sungguh indah sekali, merenung jauh ke bawah hijau melata, berpetak-petak pemandangannya dan akhirnya hilang dari pandangan. Yang tinggal kini hanyalah kepulan-kepulan awan putih bersulam biru. Penat rasanya badan…akhirnya aku melelapkan mata buat seketika sebelum sampai ke bandaraya Jakarta.

Tak sempat untuk aku berhibur dan berlibur apabila di Jakarta. Masa sangat terhad. uwaaaa…. Terlalu padat dengan mesyuarat. It was a short and fast trip. Nak shopping pun tak sempat. Bagi aku yang baru pertama kali menjejaki bandaraya Jakarta, wow… boleh tahan dan hebat pembangunannya. Bangunan-bangunannya tinggi mencakar langit, moden dan indah rekabentuknya. Pengeluar kereta dari jenama “Toyota” mendominasi jalanraya di sana. Mungkin Indonesia adalah pusat pengeluar atau kilang untuk memasang kereta jenis Toyota. Aku hanya mampu melihat beberapa kereta nasional Proton savvy sahaja yang bergerak di jalanraya. 

Macettt…macett…sekali. Itulah ayat yang terkeluar dari mulut bossku. Aku dengan termangu cuba memberi maksud bagi ayat tersebut. Laaa….jalan sesak@jam rupanya. Dan sememangnya macet sekali. Seawal 2 petang sudah macet dan berjela-jela panjang jauhnya. Tak sanggup aku. Mungkin itulah “trademark” bandaraya Jakarta yang padat dengan penduduk dan pesat pembangunannya.

Dengan masa yang hanya 2 hari sahaja di Jakarta, buat diri ini masih belum fasih dengan mata wang di sana. Aku keliru banget. Semuanya dalam ratus-ratus dan ribu-ribu rupiah. Sampai ada ketika aku menyuruh orang kedai itu mengirakan wang untuk aku. Aduhhh…ketipuan nanti..hehhehee.. Dalam fikiran aku nak menyerap apa yang dituturkan dan harus mengira wang yang besar jumlahnya dengan “nilai” yang sedikit. Terlalu banyak “00000” perlu diperhatikan. Aku jadi lemah seketika..hehehehe

Walaupun Indonesia negara jiran yang serumpun dan boleh dikatakan sama tetapi banyak yang berbeda. Sosio-budaya, gaya komunikasi, bahasa, corak dan taburan penduduknya serta lain-lain yang memberi pandangan dan persepsi yang berlainan. Apa yang begitu ketara sekali ialah gaya dan bahasa Indonesia. Pada pandangan diri ini, mungkin tersasar dengan pendapat yang lain ialah, mereka hanya berbahasa dengan satu bahasa iaitu bahasa Indonesia. Semua aktiviti dan bicara dalam satu bahasa. Tak perlu macam Malaysia yang perlu dan mesti berbahasa Inggeris. Kadang-kadang harus bercakap dalam bahasa malaysia tetapi berfikir dalam bahasa Inggeris dan sebaliknya. Itulah konflik yang nyata dan memberi kekeliruan atas desakan keadaan sekeliling iaitu tempat kerja, sekolah dan jiran. Bahasa ialah sesuatu yang hidup dan ianya membangunkan negara dan tamadunnya. Aku kira, bahasa Indonesia lebih menjadi bahasa akademik yang berjaya. Itulah uniknya Indonesia. Mampu berdiri dengan bahasa Indonesianya walaupun dalam berbilang bangsa, kaum dan keturunan.

Banyak yang aku perhati dan ingin ku tulis mengenai bandaraya Jakarta, pengalaman yang singkat ini harap dapat aku panjangkan lagi perjalanan yang lain pula. Satu lagi yang menarik tentang Indonesia ialah industri muziknya yang besar dan hebat. Penyanyi solo dan kumpulan bandnya yang ramai dan mempunyai kualiti yang hebat. Malaysia jugak hebat dan kehebatannya tersendiri mengikut acuan dan saingan dalam kelompoknya di Malaysia. Ada banyak kumpulan band di Indonesia seperti Dewa19, Peterpan, The Lima, Radja, Ungu dan sebagainya. Yang paling menarik minat ku ialah the Samson. Lagu-lagunya sungguh merdu, puitis dan menambat hatiku.

Lagu-lagu dari Samson seperti Kenangan Terindah, Luluh, Kisah Tak Sempurna, Naluri Lelaki, Akhir Rasa ini dan yang paling aku suka ialah Bukan Diriku… enjoy the song..from Samson

Air…oh…Air

July 7, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Its just to ponder our day. Kata-kata yang menarik dan tepat akan kepentingan dan kritikalnya air dalam kehidupan kita.

WATER : Life Itself

 

We cook our food with it

 

Clean our bodies with it

 

Wash our clothes with it

 

Refine our gasoline with it

 

Fight our fire with it

 

Irrigate our corps with it

 

And even use it to carry our wastes away

 

With out it, we cease to exist

 

With it, we continue….

NST,22 Mac 2007 (Sempena Hari Air Sedunia)

 

Tanpa air musnahlah nikmat kehidupan manusia.Tanpanya juga, setiap mahluk yang hidup di bumi ini akan mati kehausan. Permukaan bumi diliputi dengan air lebih daripada 70%, begitu juga tubuh badan manusia, lebih 70% komposisi air. Kenapa dan mengapa peratusan air sebegini banyak di atas permukaan bumi dan di dalam badan manusia?  Jika kekurangan air di tubuh badan maka hiderasi akan wujud yang membolehkan manusia pengsan dan seterusnya membawa maut. Manakala permukaan bumi akan kering dek kerana kemarau yang melanda. Semuanya saling kait mengkait antara satu sama lain. Seperti sedia maklum, di permukaan bumi ada pelbagai jenis air iaitu air masin, air tawar, bongkah ais dan juga glasier. Bila dihitung peratusan air tawar sedikit sahaja yang boleh digunakan.

Sudah sediakah kita untuk menghadapi krisis air jika mahluk ciptaanNYA yang mempunyai akal dan pemikiran yang tinggi gagal untuk menghargai dan menjaga sumber asli yang amat penting dalam kehidupan. Gagal untuk berkompromi dengan sungai sebagai sumber air, maka nanti bolehkah sungai bertoleransi atas kerakusan manusia sendiri?. Tindakan manusia yang sesuka hati menelanjangkan dan memusnahkan sungai sehingga padahnya nanti amat perit dan sengsara sekali.

Sebelum terlambat, kita bukan sahaja perlu menghargai tetapi tanamkan sikap serta sifat tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan sungai. Lantas nanti, sumber air terus ada dan keindahan sungai terjamin bukan untuk kita tetapi untuk anak cucu di masa hadapan. Segala kos untuk menjaga dan membaikpulih sungai oleh kerajaan boleh dialihkan untuk kegunaan yang lain.

Kemarau atau banjir semuanya berpunca dengan air. Itulah kuasa ciptaanNYA yang boleh membuatkan manusia tidak keruan apabila krisis air melanda. Segala aktiviti yang melibatkan penggunaan air tidak dapat diteruskan. Oleh itu, selalulah beringat akan kepentingannya yang tiada tolok banding dan ianya bagaikan ada “magik” di dalamnya untuk kita hargai dari penciptaNYA yang maha Agung.