Archive for September, 2008

“Tua Sebelum Waktunya”

September 14, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Kelmarin, aku menerima panggilan daripada seorang rakan. Sudah agak lama aku tidak berbicara dengannya. Berbagai cerita yang diperbualkan di sepanjang perbicaraan kami. Yelah bila sudah lama tak bercakap dalam apa jua media baik bersemuka, telefon ataupun chatting, sudah tentu ada sahaja cerita lama atau baru yang dibualkan. Bermula dengan pertanyaan khabaran, kenapa dah lama tak dengar berita, bagaimana sekarang, kerja ok ker tak?, keluarga ok ker?…. dan macam-macam adalah bak kata orang.

Tetiba, terkeluar isu tentang, “isteriku tua sebelum waktunya”. Aku tergaman dan terbisu sebentar. Nak komen salah…tak komen salah. Bila seorang kawan memerlukan telinga kita untuk mendengar permasalahan dan hati kita untuk menyelami perasaan mereka…. Aku hanya mampu menjadi pendengar yang setia dan baik.

Aku terkedu apabila dia mengeluarkan perasaan yang terbeku dan tak keruan mengenai masalah yang membelenggu diri. Gertuan perasaan melingkari hati yang menginginkan isterinya untuk menjaga penampilan diri. Katanya…isterinya sudah tidak lagi berpakaian yang menarik dan sering mengenakan warna yang pudar, tidak menggunakan “make-up” lagi, dah tak suka pakai seluar ataupun jeans dan sebagainya. Kebanyakan hanya berpakaian baju kurung bila di luar atau jubah dan apabila di rumah suka memakai kain batik sahaja. Dia rasa rimas dan rasa “bosan” dengan cara berpakaian isterinya.

Aku bertanya, sudah dan selalukah meluahkan keinginan perasaan untuk isterinya berubah. Katanya, sudah berbuih dan jenuh. Alasan yang diterima malu untuk bergaya sebab anak-anak dah besar. Tapi katanya dia tidak puas hati dengan alasan itu. Baju-baju pilihan yang dibeli untuk isteri, tidak dihirau dan tak dipakainya. Sebaliknya, isteri dia pulak menasihatkan supaya diri dia yang patut ubah cara penampilan dan gaya berpakaian kerana sudah tua. Sedarlah diri dan malu dengan anak-anak.

Tetapi, apabila dia menjeling pada perempuan yang cantik, tahu pulak isterinya marah-marah dan tarik muka masam. Bingung dia dibuatnya. Sepintas…aku pun terketawa sebentar …dan menjawab yelah melihat “keindahan ciptaanNYA”…hehehehehe. Berderai kami ketawa. Aku jadi kelu untuk menjawab dan serba salah. Ada benarnya kata-kata kawanku….

Bak kata pepatah…”We are what we eat” dan adakah ianya sinomin “What we dress what we are”!!!…. Jika seseorang itu kaya dan mampu, sudah tentu boleh membeli pakaian yang cantik-cantik. Pergi ke spa atau salon bagi menjaga kecantikan dan penampilan diri. Tetapi, itu bukan alasan yang kukuh untuk kita tidak menjaga kebersihan diri dan penampilan adalah asas hidup seseorang itu. Tidak boleh tidak atau dianggap enteng dan sambil lewa. Setiap aspek diri mesti diberi kepentingan yang sama rata. Mengenakan make up asas, menjaga kelembutan kulit, mengenakan pakaian yang tepat dan sopan pada masa, tempat dan keadaan dengan tujuan bukan untuk menunjuk-nunjuk.  Tetapi, hanya berpaksikan kesederhanaan diri supaya tidak tersasar atau terlebih-lebih dalam menonjolkan diri.

Dalam institusi perkahwinan secara asas ialah hidup bertolenrasi dan kompromi. Faham memahami kehendak dan kepuasan hati pasangan kita. Jika dia meluahkan perasaan dan keinginan diri, cepat-cepatlah kita berubah. Dan sebaliknya, jika kita ingin pasangan kita berubah mengikut citarasa, maka diri sendiri juga patut menunjukkan dan menjaga penampilan. Barulah ada timbal balik yang setara.

Jadi, baik isteri atau suami, hanya kita yang patut untuk memotivasikan diri sendiri sebenarnya  menjaga kebersihan dan penampilan diri bagi memastikan kita tidak tua sebelum waktunya.

Mantera Beradu

September 7, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Berulang-ulang kali aku mendengar lagu “Mantera Beradu” dendangan M.Nasir & Malique. Aku terpesona….Sungguh unik sekali lagu ini dengan liriknya yang begitu puitis dan penuh bermakna. Enjoy this marvelous song………

 

Kemaafan Hapuskan Dendam

September 7, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Sedang aku surfing net, terjumpa blogspot dan tajuk artikel ialah “Kemaafan Hapuskan Dendam”. Sangat menarik isinya dan memberi pengertian yang tepat dalam tajuk yang ingin disampaikan. Terima kasih kepada penulis dan tuan punya blogspot – Koleksi Cinta. Berikut adalah artikel tersebut untuk kongsian bersama.

 “”Antara kemarahan, dendam dan kemaafan. Tiga istilah itu berada pada situasi berbeza, namun ia berkait rapat antara satu sama lain.

Marah, dendam dan maaf, sudah tentu kemaafan yang lebih utama, tetapi terdayakah kita untuk melupakan sesuatu perkara yang membangkitkan kemarahan begitu sahaja, khususnya perkara sensitif dan memberikan maaf kepada orang terbabit?

Dendam biasanya terhasil daripada perasaan marah, iaitu suatu perasaan membuak-buak apabila ditahan seseorang dirinya kerana tidak terdaya atau dipendam untuk melepaskannya pada satu-satu ketika.

Perasaan marah yang ditahan dan terpendam di dalam batin hati itu kemudian bertukar menjadi perasaan lain, dipanggil dendam, yang mungkin mengakibatkan senario berpanjangan.

Dendam boleh diertikan sebagai perasaan berat hati yang bercampur perasaan benci terhadap seseorang yang berterusan atau dalam beberapa waktu. Dendam, jika dituruti boleh mengakibatkan perkara lain yang tercela antaranya:-

  1. Perasaan hasad, iaitu menaruh rasa suka apabila pihak yang didendam itu ditimpa bala bencana atau kesusahan dan berduka sekiranya pihak terbabit mendapat kesenangan
  2. Memutuskan perhubungan baik sekalipun pihak yang didendam tetap ingin mengekalkannya
  3. Tidak bersedia untuk menerima atau memaafkan pihak terbabit sebagai tanda memandang hina dan rendah kepadanya
  4. Berdusta ke atasnya, mengumpatnya dan mendedahkan keburukan atau maruah yang sepatutnya dipelihara
  5. Mengejek dan memperlinya
  6. Memusuhi dan menganiayainya

Sekiranya perasaan dendam seseorang mendorong dirinya kepada tindakan seperti di atas, sudah tentu keadaan menjadi bertambah buruk dan hukumnya menjadi haram.

Tetapi lain halnya jika dendam itu tidak mendorong kepada tindakan terbabit dan perkara maksiat lain, bahkan hanya terpendam di dalam hati, tanpa diingkari hatinya, sehingga boleh menegah dari melakukan perkara yang disunatkan terhadap pihak yang didendam, seperti berwajah manis, bersikap lemah lembut, mengambil berat, menyampai hajat, bekerjasama dalam kerja bermanfaat.

Begitupun, semua ini boleh mengurangkan nilai dan darjat seseorang dalam beragama, menghalang daripada mendapat kurniaan pahala yang melimpah dari Allah, walaupun tidak mendedahkan diri kepada azab.

Justeru, langkah yang paling selamat ialah mengekalkan keadaan sebelum berlaku dendam. Malah, jika terdaya tambahkan lagi kebaikan sebagai jihad nafsu kita dan menolak pujuk rayu syaitan.

Sementara itu, orang yang didendam atau pihak kena dendam pula, dia mungkin mengambil tindakan tertentu terhadap pihak yang berdendam iaitu:-

  1. Mengambil tindakan yang setimpal dan yang dirasakan berhak diterima dari perbuatannya dengan tidak terlebih atau kurang. Tindakan seperti ini dipanggil keadilan atau mencari keadilan.
  2. Berlaku ihsan kepada pihak yang berdendam, seperti memberikan kemaafan. Ini disebut kemuliaan. Orang seperti ini sungguh mulia hati budinya.
  3. Menzalimi dan menganiyai orang yang berdendam dengannya dengan sesuatu yang sememangnya tidak berhak menerimanya. Ini disebut penganiayaan.

Pihak yang memilih tindakan yang ketiga adalah tergolong manusia yang berakhlak rendah, tindakan kedua termasuk golongan soleh dan pertama adalah pilihan golongan siddiqin.

Islam mengharuskan mengambil tindakan yang adil terhadap mereka yang menyebabkan kita marah (atas kebenaran) iaitu yang disebut “al-adl” namun Islam lebih cenderung menggalakkan tindakan peringkat yang lebih tinggi dari itu, iaitu memberikan kemaafan. Inilah yang disebut ‘al-ihsan’ iaitu berbuat baik atau bersikap baik.

Mungkin ada pihak bertanya, mengapa pula tidak digalakkan untuk melakukan sesuatu tindakan terhadap orang yang berdendam, selagi tindakan itu adil dan saksama?

Sebenarnya bukan mudah untuk melakukan sesuatu tindakan tanpa melebihi dan mengurangi, dengan tindakan yang dilakukan ke atas seseorang. Malah, selalunya tindakbalas melebihi dari batas yang saksama dan ini menunjukkan ada kesulitan.

Justeru itu, sebagai langkah selamat dan menjamin kebaikan di antara pihak yang berdendam dan kena dendam ialah memberikan maaf.

Islam memuji sifat individu yang dapat menahan marah, dengan tidak memuaskan nafsu marahnya atau melepaskan perasaan marahnya dengan suatu tindakan, namun hanya dengan menahan marah masih belum dapat mengikis perasaan dendam di dalam hati.

Oleh itu, Islam menggalakkan umatnya saling bermaafan kerana kemaafan boleh meredakan ketegangan dan perasaan dendam.

Mereka yang dapat menahan marah, kemudian menyusul dengan kemaafan dapat membersihkan hatinya daripada perasaan dendam.””

 

Indahnya Kehidupan

September 7, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

 “Aku minta kepada TUHAN setangkai bunga segar, DIA beri kaktus berduri. Aku minta kupu-kupu, diberikan ulat bulu… Aku sedih dan kecewa…. Namun kemudian, kaktus itu berbunga, indah sekali. Dan ulat itupun menjadi kupu-kupu yang cantik.

Itulah jalan TUHAN, indah pada masaNYA. Tuhan tidak memberi apa yang kita HARAPKAN, tetapi DIA memberi apa yang kita PERLUKAN. Kadang-kadang kita sedih, terluka… tapi jauh di atas segalanya DIA telah mengatur yang TERBAIK dalam kehidupan kita”….

 

Ungkapan di atas bagaikan kata-kata semangat untuk kita hadapi dugaan dan cabaran. Di kala kita memohon untuk melepasi masalah dan meminta DIA tunaikan jawapan atas apa yang kita harapkan. Supaya yang indah-indah dan tepat hadir dalam kehidupan kita. Bukan semudah itu, jalannya. DIA beri dan turunkan dugaan agar kita terus mengingatiNYA, supaya tidak alpa atau lalai akan keseronokan dunia dan material yang akan membawa kemusnahan diri.

Peringatan dan kesyukuran mesti sering hadir. Walaupun dugaan mendatang memberi keperitan dan kesakitan, tapi kesabaran dan keimanan dihati seseorang insan itu akan mendapat kembali apa yang terbaik dalam hidupnya. Hidup di dunia hanya sekali, segala apa yang hadir itu adalah bagaikan amanah yang harus dipikul sebagai tanggungjawab.

Terima kasih kepada “B” kerana berkongsi ungkapan kata-kata tersebut…

Selamatkan Bumi Kita

September 6, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

” 4 Sept 2008/jam 10.30 malam – Di laman rumah, duduk di bangku taman sambil minum secawan milo. Cuaca malam itu hujan rintik-rintik. Rasa sejuk mencengkam tapi segar. Sekarang ini hujan hampir turun setiap hari. Kadang-kadang amat lebat sekali, menyebabkan banjir kilat di sesetengah tempat akibat tangkungan air. Jalan sesak bila pulang daripada kerja apabila hujan turun. Aku merasai, perubahan cuaca berlaku dengan ketara sekali” …

Jika dahulu, kita tahu bila musim panas mahupun musim hujan akan turun dan hadir menjelma. Ketetapan dan konsistensi taburan mengikut jadual yang diramalkan. Namun, ketidaktentuan cuaca kini melanda dengan hebat sekali hingga membawa bencana besar yang menggerunkan dan memusnahkan kawasan setempat.

Perubahan cuaca yang ketara telah menimbulkan bencana alam seperti angin kencang, ribut taufan yang ganas, banjir kilat akibat hujan lebat dan kemarau yang berpanjangan sehingga kering kontang. Fenomena peralihan cuaca yang mengakibatkan suhu, lembapan, tekanan, udara dan sebagainya menurun atau meningkat dengan keadaan tiba-tiba, dan seterusnya iklim dunia juga mengalami dan menerima kesan perubahan yang amat ketara sekali.

Merujuk kepada situasi perubahan cuaca kini, sudah tentu pelbagai soalan yang bermain di minda fikiran kita.

  1. Apakah sebab-sebab utama kenapa dan mengapa perubahan cuaca dan iklim ini berlaku?
  2. Apakah kesan perubahan cuaca ini terhadap bumi dan manusia?
  3. Bagaimanakah untuk mencari jalan penyelesaian dan penyesuaian terhadap perubahan cuaca dan iklim terhadap bumi dan kehidupan manusia?

Para sarjana dan pengkaji banyak menyumbang kajian serta artikel-artikel ilmiah telah menunjukan bahawa punca utama perubahan cuaca dan iklim adalah atas perbuatan manusia itu sendiri. Penebangan hutan yang berleluasa, pembakaran secara terbuka, penggunaan bahan bakar dan sebagainya telah menyumbang kepada kemusnahan alam sekitar di bumi ini yang membawa pencemaran udara, jerebu, tanah runtuh dan sebagainya.

Lantas, menjadikan keadaan yang bertambah teruk dan kompleks, natijah daripada perubahan cuaca dan iklim ialah pemanasan global. Isu kritikal yang mana, setiap negara di dunia ini tidak terkecuali menerima kesan tempias. Informasi mengenai maksud apa itu pemanasan global boleh didapati di artikel di bawah:- 

Artikel Tentang Pemanasan Global

Sudah cukup dan memadai dengan kempen-kempen kesedaran, maklumat-maklumat awam di televisyen ataupun radio, risalah berkaitan, bahan bacaan buku, suratkhabar, di laman web dan sebagainya  bagi menanam dan memupuk minda manusia tentang peranan mereka bagi menjaga kesejahteraan bumi. Apakah tindakan  proaktif dan positif manusia dalam mengumpul maklumat berkaitan dan menggunakan kembali maklumat tersebut dalam kehidupan seharian bagi menjaga bumi ini.

Ketamakan dan kerakusan manusia membangunkan kawasan setempat dan sesebuah negara yang berpijak atas nama pembangunan bagi kehidupan yang lebih baik dan moden telah banyak memusnahkan dan “menelanjangkan” bumi yang tercinta. Tidak dinafikan, bagi mengejar pembangunan moden dengan infrastruktur yang baik dan teratur, “pengorbanan” harus dilakukan. Perpindahan teknologi daripada negara maju dan membangun juga telah menuntut kepada kemusnahan bumi kerana ingin mengejar status yang diiktiraf kuasa dunia yang kadang-kadang tergelincir dalam menjaga alam sekitar dengan mesra dan baik. Tetapi, sejauhmanakah keberterusan pengorbanan itu harus dilakukan. Di manakah garis putus dan perancangan yang sebagaimanakah harus diatur dan dilakukan seiring dengan menjaga alam sekitar agar terpelihara tidak musnah dengan teruk.

Apakah tanggungjawab bersama untuk menjaga alam sekitar dan kelestarian bumi. Menyemai keperihatinan manusia dengan lebih menyeluruh dan berkesan agar lebih cintai alam sekitar semulajadi ciptaanNYA untuk kita nikmati dan sayangi.

“SELAMATKAN BUMI KITA”

“Aku Sindarela”

September 3, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Just nak layan lagu “Aku Sindarela” versi acoustic. Sweet dan indah lagunya. Enjoy…..

Salam Ramadhan dan Selamat Berpuasa

September 2, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Setahun sudah berlalu. Bulan Ramadhan datang lagi. Dinanti-nanti akan ketibaan dengan penuh keimanan dan kesyukuran. Marilah kita rebut dan mengambil peluang bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan untuk kerahmatan bagi hambaNYA.

Penuh dugaan dan cabaran bukan kerana menahan lapar dan dahaga. Tetapi menahan diri dari pengaruh-pengaruh negatif yang mampu mengoncang iman untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik dan mengundang dosa. Mata, telinga, perut dan lain-lain anggota untuk kita displinkan. Latihan untuk aktiviti yang lebih baik dan murni.

Ikhlaskan diri. Bersihkan jiwa. Sucikan hati. Pada yang mampu bersedekahlah. Ucapan Selamat Berpuasa buat semua.

Salam Kemerdekaan

September 2, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Jalur Gemilang

Jalur Gemilang

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51. “Perpaduan Teras Kejayaan”. Moto yang sungguh simbolik bagi memastikan negaraku Malaysia ini terus maju dan cemerlang melalui perpaduan yang teguh serta utuh.

Berbilang bangsa dan agama, berbagai budaya yang unik untuk kita kongsi bersama, perbezaan fahaman dan idealogi, namun hidup bersatu di bumi negaraku Malaysia dengan aman dan sejahtera. Pisahkan fikiran dan diri daripada pagar dan penjara ghaib negatif yang boleh memenjarakan serta menyempitkan minda dan diri untuk terus maju. Sambut dan merdekakan dengan sepenuh-penuh rasa keertian kemerdekaan itu. Jangan hanya di mulut semata-mata.

Fikir dan lakukan yang terbaik untuk negara kita yang tercinta. Halusi dan hargailah erti perjuangan mereka yang terdahulu yang memerdekakan negara kita untuk kesenangan dan keamanan generasi kini. Tugas kita ialah menyambung titian kesejahteraan dan kemakmuran untuk generasi akan datang.

“Salam Kemerdekaan Buat Semua Rakyat Malaysia”