Archive for May, 2016

Maafkan aku Emak..Ampunkan aku Abah

May 17, 2016

Assalamualaikum,

Lama tak menulis di sini. Mungkin sudah hilang rasa……entahlah. Minggu lepas aku berada di Tanjung Malim untuk mengikuti satu bengkel. Moga bengkel ini memberi manfaat. Lagi 9 kali sesi harus aku hadirikan diri. Di sana aku berjumpa dan berkenalan dengan seorang partisipan. Beliau ditemani oleh ibu bapa. Seorang perempuan istimewa (orang kelainan upaya)  hadir untuk mengikuti bengkel tersebut. Dari segi fizikal, aku perhatikan dia, beliau mengalami kesukaran berjalan di mana,  agak perlahan, saiz kepala yang agak besar tapi punyai minda yang kuat serta semangat yang gigih. Kekurangan diri tak menghalang beliau untuk terus menimba ilmu. Aku hormati beliau. Seorang guru pendidikan khas dan juga penuntut sarjana yang  cekal dan tabah mengharungi diri seharian untuk menguruskan diri dan dalam pencarian ilmu dunia ini.

Di sini, aku menulis bukan hanya tentang diri beliau yang istimewa itu, tetapi tentang peranan ibu bapa beliau. Sepasang ibu bapa yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga menghantar pelajar itu dari Kedah ke Tanjung Malim untuk mengikuti bengkel itu. Memastikan anaknya selesa dan dapat menimba ilmu di bengkel itu. Memastikan anaknya boleh ke tandas dengan terurus, mengambilkan makanan dan memotong ayam (menu hari itu), membawa beg yang berisi notebook yang agak besar dan mungkin sedikit berat dan memimpin anaknya ketika turun dari tangga.

Aku hanya tersenyum tapi dalam hati aku menangis dan termenung seketika. Aku hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada ibu itu kepada peranan beliau bukan sahaja sebagai kasih sayang seorang ibu tapi sebagai sokongan sosial yang benar-benar diperlukan oleh anaknya. Fikiran aku melayang… aku tak sanggup untuk menyatakan di sini….

Pastinya, mana-mana ibu atau bapa di dunia ini akan sanggup berbuat apa sahaja untuk anak-anaknya. Berkorban masa, kasih sayang, wang, pertolongan dan segalanya untuk anak tercinta. Tapi adakah kita sebagai anak ini mampu untuk membalas jasa mereka. Aku jadi takut, takut dan sedih jika aku tak mampu dan dalam tanpa sedar aku menyakiti hati mereka. Maafkan aku…ampunkan aku…wahai ibuku dan bapaku…