Archive for the ‘Komunikasi’ Category

KISS

May 3, 2010

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

KISS ~~ Keep It Simple and Sweet. Satu akronim yang ringkas, mudah dan tepat. Thanks M!. Yeah yeah yeah… akan ku praktikkan. Manusia kalau nak jelaskan sesuatu mesti nak meleret-leret kalau dalam keadaan tersepit atau cuba mengelak. Itu yang aku perhatikan, termasuklah dalam diriku ini. Mungkin ianya adalah tindakan refleks atau perasaan semulajadi manusia. Tidak dinafikan. Namun jika inginkan sesuatu respons atas persoalan yang diajukan pula selalu inginkan yang tepat sahaja. Bagaikan untuk memenuhi ruang lingkup perasaan yang menyeluruh.

Setiap butir patah perkataan yang keluar dari mulut kita ini sememangnya memberi kesan secara langsung atau tidak langsung oleh penerima. Apakah tujuan mesej melalui patah perkataan itu? Adakah ianya hanya tersurat atau tersirat penuh makna.

Manakala penerima mesej itu pula akan membuat beberapa proses persepsi pemikiran manusia melalui rangsangan untuk pemilihan, penyusunan dan akhir sekali ialah interpretasi iaitu memberi makna atas sesuatu mesej yang diterima. Itu semua dikatakan berlaku di dalam kotak pemikiran manusia yang mampu dan bijak dalam membuat rational yang terbaik dan munasabah. Sebab itu ada pepatah atau kata-kata pujangga mengatakan bahawa……

“Kepetahan Lidah Umpama Halilintar, Membelah Bumi, Menggegarkan Dunia”.  Gerrrrrrrrrrrrrrrrr….

Advertisements

Layanan Yang Diharapkan

May 3, 2010

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Apabila kita bercakap dan mengutarakan pendapat tentang apa yang dimaksudkan tentang layanan, sudah tentu perkara-perkara yang tersenarai di bawah ini yang bermain difikiran dan terbit di hati dan perasaan setiap manusia. Ingin sekali, Di….

…fahami… terima…. hormati…percayai… sayangi…belai….   beri perhatian….beri sokongan….

 Bolehkah kita memperolehi layanan yang dingini dan seterusnya mampukah kita memberi layanan yang sepatutnya? Nampak mudah sahaja tindakan itu, tetapi sebenarnya memerlukan tindakan sepenuh hati Jika tidak, impaknya hanya diluaran sahaja dan tidak langsung mengesankan. Justeru itu, layanlah orang lain sebaik mungkin sebagaimana anda mahu diri anda dilayan oleh orang itu…. Huhuhuhuu….

Mencari Pasangan Sempurna

February 23, 2010

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Aku diberitahu, kelas akan bermula agak lewat pada hari itu. Boring pulak dibuatnya. Lantas aku ke bangku tepian luar Pusar Sumber, mencari majalah-majalah yang menarik untuk dibaca sekadar memenuhi masa lapang. Bak kata orang puteh ..”killing time“..hehehee atau bunuh masa kalau diterjermahkan terus menerus. Hancussss.  Sedang aku khuysuk membelek helaian muka surat majalah, terbaca satu artikel yang begitu mencuit hati. Ada kebenarannya walaupun nampak remeh dan santai tapi atas rasa kepinginan lumrah manusia dalam mencari kesempurnaan. Beginilah ceritanya:-

 Si A telah pergi ke pejabat mencari jodoh dengan tujuan untuk bertemu pasangan hidup lantas menanyakan soalan kepada pegawai bertugas, “Saya ingin mencari jodoh dan tolong carikan saya pasangan hidup yang sesuai.” Pegawai itu bertanya, “Boleh beritahu apakah ciri-cirinya.”  ” Ohhhh, semestinya seorang yang menawan, menarik perhatian, berbudi bahasa, penuh dengan lawak jenaka, sporty, bijak lagi berpengetahuan, pandai menyanyi dan menari. Boleh menemani saya sepanjang hari di rumah semasa masa rehat, jikalau saya tidak keluar rumah. Lebih daripada itu boleh menjadi teman bicara dan bercerita tentang perkara-perkara yang menarik untuk kongsian. Dia juga boleh senyap seketika bila saya ingin rehat.” Pegawai mencari jodoh itu diam dan telah menjadi pendengar yang baik. Dia senyum seraya menjawap, “Saya sangat memahami kehendak anda, sebenarnya anda memerlukan sebuah TELEVISYEN”.  hehehhehehehheee….gelak sakan dibuatnya aku….memangpunnn

Memenuhi kehendak naluri dan lumrah manusia yang tak pernah puas telah menetapkan ciri-ciri yang ideal dan sempurna dalam pencarian pasangan hidup. Agar tak terlepas pandang. Bak kata orang pasangan sempurna hanya berlaku bila isteri itu seorang yang BUTA manakala suaminya pula adalah seorang PEKAK. Ada betul ker? hihihihi. Mungkin kalau isteri itu buta, tak mampu untuk melihat kesilapan suaminya dan jikalau suaminya pekak, tak dapat pula mendengar leteran isteri yang menyakitkan halwa telinga. hehehee. Begitulah kisah ragam manusia dalam mencari kesempurnaan pasangannya. Malangnya, bila keseronokan bercinta itu pudar segalanya yang indah-indah terdahulu hilang lenyap lantas menimbulkan keresahan dan mimpi buruk bagi pasangan itu… Fikir-fikirkanlah…Ada betuiii karrr??? huhuhuhu

It’s hurting you…but it’s killing me…

February 12, 2010

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Jika tetamu berkunjung atau mampir ke rumah anda adalah sesuatu yang menggembirakan dan selalu diharapkan kerana ianya rezeki dariNYA dan mengikat akrabnya silaturahim. Bagaimana pula dengan tetamu yang hadir di kalbu hanya sementara untuk kita sambut kegembiraan tapi akhirnya ianya mengecewakan hati anda…..

Anis merenung jauh di tepian jendela. Di saiz jendela yang kecil menjurus pemandangan luar yang luas dan terbentang lebar. Masihkah ada sisa-sisa harapan kembali subur agar hati Anis boleh sembuh semula walaupun sendirian….

Lagu ini begitu meruntun jiwa dengan gemersik suara penyanyinya merdu sekali….

p/s : terima kasih tuanpunya klip video ini.

Mertua vs Menantu

February 8, 2010

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Ketika diri sedang asyik memandu ke pejabat, hati terusik dengan isu pagi di Hot.fm. Menantu yang mempunyai masalah hubungan dengan mertua. Adakah ianya berlaku bermula dengan sikap ego mertua atau menantu itu sendiri.

Rata-rata permasalahan ini hanya berlaku di kalangan menantu perempuan dan mertua juga seorang perempuan. Kenapa ianya berlaku? Padahal di permulaan perkenalan atau di awal perkahwinan semuanya berjalan dengan lancar dan indah sekali. Toleransi dan kompromasi sungguh tinggi. Kenapa ketidakpuasan hati dan pertelingkahan berlaku. Di mana silapnya. Masing-masing menyatakan mereka betul dan pihak yang satu lagi salah belaka.

Isu-isu sedemikian bukan isu terpencil. Ianya isu rumit dan sudah terbukti telah meruntuh rumahtangga yang dibina. Permasalahan ini melibatkan soal hati dan perasaan. Boleh jadi gangguan emosi melampau hingga bersikap tidak rasional pada saat dan ketika berlakunya perselisihan faham atau pergaduhan. Hinggakan boleh meleret-leret dan melibatkan orang lain serta peristiwa lampau.

Sikap ingin mempertahankan maruah, tidak boleh ditegur, suka melawan cakap, terlalu menjaga kebajikan anak lelaki, mempastikan menantu perempuan tidak mengambil dan merentap kasih sayang jauh dari ibunya. Kisah-kisah sedemikian berlaku di mata aku sendiri. Jika benar tidak suka sungguh dengan ibu mertua…tolong jangan hina mereka di depan orang lain dan sebaliknya. Ibaratkan ibu mertua sebagai ibu sendiri. Jika benar-benar tidak boleh tahan dengan sikap mereka. Pergi jauh dan jarak hubungan buat seketika. Memang kalau dekat bau busuknya amat kuat sekali, tetapi kalau jauh haruman lebih semerbak daripada bunga ros atau minyak wangi berjenama yang mahal sekalipun. Berdiam bukan bererti kalah atau merajuk dan pergi jauh bukan bermaksud melawan. Cuma untuk meredakan suasana.

Cuma ingatlah, menantu-menantu perempuan atau baik lelaki sekalipun, di kala ini kita masih muda dan kuat. Nanti bila tua, kita juga akan menghadapi masalah yang sama juga. Inginkah kita hidup dengan suasana penuh dengan kemarahan. Jika anak-anak kita tak ingat ibubapa dek kemaruk hidup indah dengan isterinya, biarkanlah, satu hari nanti, dia akan pasti kembali pada kita atau nescaya balasan Allah ada padanya. Cuma doakan yang baik-baik untuk anak lelaki dan menantu. Juga menantu perempuan, jangan kita menerbitkan lagi banyak si Tanggang moden di dunia ini lagi. Dosanya tak tertanggung.

Ada ketika diri ini juga mempunyai masalah dan rasa tidak puas hati dengan tindakan mertua aku. Namun, ianya ibu suami ku, suka atau tidak, hendak atau tidak, aku harus berdepan dan menyelesaikan. Jikalau aku mempersakiti hati ibu mertua, ini memakna hati suamiku juga akan dirobek nak nak lagi, kalau suami itu adalah anak kesayangan ibunya. Bagaimana harus aku mempersakiti hati 2 orang sekaligus atau mungkin ramai sekali dalam satu-satu masa. Jadi, langkahnya hanya perlu buat hanya diam menahan gertuan hati dan perasaan. Menjaga perasaan ibubapa adalah tanggungjawab wajib dan bukannya adat. Ianya dituntut oleh Islam. Justeru, mencari jalan selamat dan terbaik dalam menjaga keharmonian hubungan demi semua pihak.

Gurauan

February 8, 2010

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Pernahkah anda dituduh dengan pernuduhan yang tidak adil dan sewenang-wenangnya walaupun dengan alasan “bergurau”. Tahukah anda tujuan gurauan itu, jenis gurauan, bilakah masa, siapakah sasaran, dimanakah tempat yang sesuai untuk dijadikan gurauan yang tepat.

Bukankah gurauan juga melibatkan jarak masa atau tempoh lamanya kita sudah berkenalan dengan orang yang ingin kita bergurau. Iaitu tahap kemesraan dan kebiasaan dalam hubungan itu. Bolehkah kita sembrono menyatakan bahan gurauan tersebut?.

Pernahkan anda alami saat-saat gurauan melampau dengan orang yang anda hormati, memegang jawatan penting dan berprofil tinggi dan ditambah lagi jangkamasa perkenalan singkat tetapi beliau telah memalukan anda dikhalayak ramai. Adakah  orang-orang sedemikian ini bila menyatakan ayat-ayat yang memalukan orang lain hanya bersifat gurauan dan sebaliknya orang yang rendah jawatannya pula dikatakan tidak reti menggunakan komunikasi yang setepatnya.

Sudah tentu perasaan anda dalam keadaan yang amat memalukan dan terhina. Maruah tercalar dan terpalit bagaikan air muka anda telah disimbah “taik” yang sungguh busuk. Di manakah rasanya nak letak muka ini?. Di balik dinding, di bawah meja, menutup dengan kedua-dua belah tapak tanganpun belum tentu dapat menangkis jauh kata-kata gurauan hinaan dari pandangan orang ramai yang berada di situ. Ditambahkan lagi semua mata disekeliling memandang tepat di muka anda…. malunya…..

Apakah atribusi dan persepsi orang yang berada di sekeliling kejadian tersebut. Adakah mereka tak ambil kisah? Adakah mereka berfikir sejenak..dengan mengatakan benarkah? Hanya orang yang mengeluarkan kata-kata gurauan melampau itu sahaja yang tahu tujuan sebenar kenapa bait-bait ayat penghinaan itu tersembur keluar. Manusia ini mudah sungguh melabelkan orang lain tanpa mengambil kira hati dan perasaan dengan alasan bergurau dan tak  sengaja. Tidak berfikir sejenak kesan yang bakal timbul. Mungkinkah mereka yang terkena gurauan melampau akan hilang keyakinan diri, moral diri jatuh, motivasi hilang dan sebagainya.

Hukum lumrah manusia tak akan berada di puncak buat selama-lamanya. Pasti akan jatuh juga akhirnya. Kita diingatkan selalu munasabah diri. Mungkin aku akan menangis selebat-lebatnya kerana gurauan hina yang melampau, tetapi esok lusa siapa tahu…

“Tua Sebelum Waktunya”

September 14, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Kelmarin, aku menerima panggilan daripada seorang rakan. Sudah agak lama aku tidak berbicara dengannya. Berbagai cerita yang diperbualkan di sepanjang perbicaraan kami. Yelah bila sudah lama tak bercakap dalam apa jua media baik bersemuka, telefon ataupun chatting, sudah tentu ada sahaja cerita lama atau baru yang dibualkan. Bermula dengan pertanyaan khabaran, kenapa dah lama tak dengar berita, bagaimana sekarang, kerja ok ker tak?, keluarga ok ker?…. dan macam-macam adalah bak kata orang.

Tetiba, terkeluar isu tentang, “isteriku tua sebelum waktunya”. Aku tergaman dan terbisu sebentar. Nak komen salah…tak komen salah. Bila seorang kawan memerlukan telinga kita untuk mendengar permasalahan dan hati kita untuk menyelami perasaan mereka…. Aku hanya mampu menjadi pendengar yang setia dan baik.

Aku terkedu apabila dia mengeluarkan perasaan yang terbeku dan tak keruan mengenai masalah yang membelenggu diri. Gertuan perasaan melingkari hati yang menginginkan isterinya untuk menjaga penampilan diri. Katanya…isterinya sudah tidak lagi berpakaian yang menarik dan sering mengenakan warna yang pudar, tidak menggunakan “make-up” lagi, dah tak suka pakai seluar ataupun jeans dan sebagainya. Kebanyakan hanya berpakaian baju kurung bila di luar atau jubah dan apabila di rumah suka memakai kain batik sahaja. Dia rasa rimas dan rasa “bosan” dengan cara berpakaian isterinya.

Aku bertanya, sudah dan selalukah meluahkan keinginan perasaan untuk isterinya berubah. Katanya, sudah berbuih dan jenuh. Alasan yang diterima malu untuk bergaya sebab anak-anak dah besar. Tapi katanya dia tidak puas hati dengan alasan itu. Baju-baju pilihan yang dibeli untuk isteri, tidak dihirau dan tak dipakainya. Sebaliknya, isteri dia pulak menasihatkan supaya diri dia yang patut ubah cara penampilan dan gaya berpakaian kerana sudah tua. Sedarlah diri dan malu dengan anak-anak.

Tetapi, apabila dia menjeling pada perempuan yang cantik, tahu pulak isterinya marah-marah dan tarik muka masam. Bingung dia dibuatnya. Sepintas…aku pun terketawa sebentar …dan menjawab yelah melihat “keindahan ciptaanNYA”…hehehehehe. Berderai kami ketawa. Aku jadi kelu untuk menjawab dan serba salah. Ada benarnya kata-kata kawanku….

Bak kata pepatah…”We are what we eat” dan adakah ianya sinomin “What we dress what we are”!!!…. Jika seseorang itu kaya dan mampu, sudah tentu boleh membeli pakaian yang cantik-cantik. Pergi ke spa atau salon bagi menjaga kecantikan dan penampilan diri. Tetapi, itu bukan alasan yang kukuh untuk kita tidak menjaga kebersihan diri dan penampilan adalah asas hidup seseorang itu. Tidak boleh tidak atau dianggap enteng dan sambil lewa. Setiap aspek diri mesti diberi kepentingan yang sama rata. Mengenakan make up asas, menjaga kelembutan kulit, mengenakan pakaian yang tepat dan sopan pada masa, tempat dan keadaan dengan tujuan bukan untuk menunjuk-nunjuk.  Tetapi, hanya berpaksikan kesederhanaan diri supaya tidak tersasar atau terlebih-lebih dalam menonjolkan diri.

Dalam institusi perkahwinan secara asas ialah hidup bertolenrasi dan kompromi. Faham memahami kehendak dan kepuasan hati pasangan kita. Jika dia meluahkan perasaan dan keinginan diri, cepat-cepatlah kita berubah. Dan sebaliknya, jika kita ingin pasangan kita berubah mengikut citarasa, maka diri sendiri juga patut menunjukkan dan menjaga penampilan. Barulah ada timbal balik yang setara.

Jadi, baik isteri atau suami, hanya kita yang patut untuk memotivasikan diri sendiri sebenarnya  menjaga kebersihan dan penampilan diri bagi memastikan kita tidak tua sebelum waktunya.

Kemaafan Hapuskan Dendam

September 7, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Sedang aku surfing net, terjumpa blogspot dan tajuk artikel ialah “Kemaafan Hapuskan Dendam”. Sangat menarik isinya dan memberi pengertian yang tepat dalam tajuk yang ingin disampaikan. Terima kasih kepada penulis dan tuan punya blogspot – Koleksi Cinta. Berikut adalah artikel tersebut untuk kongsian bersama.

 “”Antara kemarahan, dendam dan kemaafan. Tiga istilah itu berada pada situasi berbeza, namun ia berkait rapat antara satu sama lain.

Marah, dendam dan maaf, sudah tentu kemaafan yang lebih utama, tetapi terdayakah kita untuk melupakan sesuatu perkara yang membangkitkan kemarahan begitu sahaja, khususnya perkara sensitif dan memberikan maaf kepada orang terbabit?

Dendam biasanya terhasil daripada perasaan marah, iaitu suatu perasaan membuak-buak apabila ditahan seseorang dirinya kerana tidak terdaya atau dipendam untuk melepaskannya pada satu-satu ketika.

Perasaan marah yang ditahan dan terpendam di dalam batin hati itu kemudian bertukar menjadi perasaan lain, dipanggil dendam, yang mungkin mengakibatkan senario berpanjangan.

Dendam boleh diertikan sebagai perasaan berat hati yang bercampur perasaan benci terhadap seseorang yang berterusan atau dalam beberapa waktu. Dendam, jika dituruti boleh mengakibatkan perkara lain yang tercela antaranya:-

  1. Perasaan hasad, iaitu menaruh rasa suka apabila pihak yang didendam itu ditimpa bala bencana atau kesusahan dan berduka sekiranya pihak terbabit mendapat kesenangan
  2. Memutuskan perhubungan baik sekalipun pihak yang didendam tetap ingin mengekalkannya
  3. Tidak bersedia untuk menerima atau memaafkan pihak terbabit sebagai tanda memandang hina dan rendah kepadanya
  4. Berdusta ke atasnya, mengumpatnya dan mendedahkan keburukan atau maruah yang sepatutnya dipelihara
  5. Mengejek dan memperlinya
  6. Memusuhi dan menganiayainya

Sekiranya perasaan dendam seseorang mendorong dirinya kepada tindakan seperti di atas, sudah tentu keadaan menjadi bertambah buruk dan hukumnya menjadi haram.

Tetapi lain halnya jika dendam itu tidak mendorong kepada tindakan terbabit dan perkara maksiat lain, bahkan hanya terpendam di dalam hati, tanpa diingkari hatinya, sehingga boleh menegah dari melakukan perkara yang disunatkan terhadap pihak yang didendam, seperti berwajah manis, bersikap lemah lembut, mengambil berat, menyampai hajat, bekerjasama dalam kerja bermanfaat.

Begitupun, semua ini boleh mengurangkan nilai dan darjat seseorang dalam beragama, menghalang daripada mendapat kurniaan pahala yang melimpah dari Allah, walaupun tidak mendedahkan diri kepada azab.

Justeru, langkah yang paling selamat ialah mengekalkan keadaan sebelum berlaku dendam. Malah, jika terdaya tambahkan lagi kebaikan sebagai jihad nafsu kita dan menolak pujuk rayu syaitan.

Sementara itu, orang yang didendam atau pihak kena dendam pula, dia mungkin mengambil tindakan tertentu terhadap pihak yang berdendam iaitu:-

  1. Mengambil tindakan yang setimpal dan yang dirasakan berhak diterima dari perbuatannya dengan tidak terlebih atau kurang. Tindakan seperti ini dipanggil keadilan atau mencari keadilan.
  2. Berlaku ihsan kepada pihak yang berdendam, seperti memberikan kemaafan. Ini disebut kemuliaan. Orang seperti ini sungguh mulia hati budinya.
  3. Menzalimi dan menganiyai orang yang berdendam dengannya dengan sesuatu yang sememangnya tidak berhak menerimanya. Ini disebut penganiayaan.

Pihak yang memilih tindakan yang ketiga adalah tergolong manusia yang berakhlak rendah, tindakan kedua termasuk golongan soleh dan pertama adalah pilihan golongan siddiqin.

Islam mengharuskan mengambil tindakan yang adil terhadap mereka yang menyebabkan kita marah (atas kebenaran) iaitu yang disebut “al-adl” namun Islam lebih cenderung menggalakkan tindakan peringkat yang lebih tinggi dari itu, iaitu memberikan kemaafan. Inilah yang disebut ‘al-ihsan’ iaitu berbuat baik atau bersikap baik.

Mungkin ada pihak bertanya, mengapa pula tidak digalakkan untuk melakukan sesuatu tindakan terhadap orang yang berdendam, selagi tindakan itu adil dan saksama?

Sebenarnya bukan mudah untuk melakukan sesuatu tindakan tanpa melebihi dan mengurangi, dengan tindakan yang dilakukan ke atas seseorang. Malah, selalunya tindakbalas melebihi dari batas yang saksama dan ini menunjukkan ada kesulitan.

Justeru itu, sebagai langkah selamat dan menjamin kebaikan di antara pihak yang berdendam dan kena dendam ialah memberikan maaf.

Islam memuji sifat individu yang dapat menahan marah, dengan tidak memuaskan nafsu marahnya atau melepaskan perasaan marahnya dengan suatu tindakan, namun hanya dengan menahan marah masih belum dapat mengikis perasaan dendam di dalam hati.

Oleh itu, Islam menggalakkan umatnya saling bermaafan kerana kemaafan boleh meredakan ketegangan dan perasaan dendam.

Mereka yang dapat menahan marah, kemudian menyusul dengan kemaafan dapat membersihkan hatinya daripada perasaan dendam.””

 

“Babel”

July 13, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

“Babel” sebuah cerita yang ditayangkan di Star Movie. Menurut kamus Cambridge – Babel barmaksud “a state of confusion caused by many people talking at the same time or using different languages”. Ceritanya agak berat penuh dengan persoalan minda, kocakan hati dan debaran perasaan yang membawa kepada konflik kekeliruan. Kenapa dan mengapa? Kaitan dari satu babak ke babak yang begitu terperinci walaupun berlangsung selari dan serentak di berlainan benua, negara, ekonomi, sosial, budaya, bahasa dan bangsa. Bagaimana seorang penulis skrip mampu mengkait dan membuat kolerasi watak dengan peristiwa, tempat kejadian, tujuan dalam mencapai maksud dan mesej yang ingin disampaikan. Di samping itu kreativiti pengarah telah menghidupkan peranan menerusi jalan ceritanya.

Sungguh dramatik, tragis dan penuh dengan kesinisan. Cerita bermula di Morocco mengenai seorang lelaki yang telah menjual selaras senapang kepada jirannya untuk kegunaan keselamatan kambing bebiri dari serangan serigala. Senapang itu wujud atas pemberian terima kasih oleh seorang pelancong Jepun kepadanya. Pada suatu hari, pembeli senapang itu telah menyerahkannya kepada anak-anak beliau bagi menjaga kambing bebiri dan atas perasaan ingin tahu yang mengatakan peluru senapang ini boleh mensasarkan pada kejauhan 3 km, maka kanak-kanak tersebut telah menembak secara rambang jauh dari gunung. Datang sebuah bas, sarat dengan pelancong barat sedang melalui kawasan pergunungan tersebut. Tanpa berfikiran jauh, adik-beradik ini telah melepaskan tembakan ke arah bas tersebut yang pada fikiran mereka tidak akan kena kerana jauh kedudukan.

Tanpa diduga, seorang pelancong di dalam bas tersebut yang sedang tidur, terkena tembakan. Lantas berlakulah situasi kelam kabut dan tidak keruan. Cuba mencari hospital tetapi jauh kedudukannya, terpaksa berpatah balik dan akhirnya singgah ke satu kawasan perkampungan. Penduduk terpaksa memberi pertolongan cemas dan terdapat seorang doktor haiwan yang hanya mampu merawat dan memberi jahitan dalam peralatan yang serba kekurangan bagi menyelamatkan nyawa. Kekecohan berlaku, timbullah sikap dan sifat manusia yang tamak dan tidak bertolak ansur apabila orang lain dalam kesusahan. Hanya cuba ingin melepaskan tengkuk masing-masing.

Pelancong-pelancong lain gusar dan tidak mampu menolong dan menunggu rakan yang ditembak. Sikap tamak, pentingkan diri, tak selesa dan takut bahaya lain akan menimpa diri sehingga membiarkan pasangan pelancong itu di rumah perkampungan sementara menunggu helikopter. Kecoh dengan berita yang cepat tersebar mengatakan tembakan itu adalah hasil daripada serangan pengganas islam anti barat tanpa ada usul periksa yang nyata. Itulah persepi dangkal pihak barat yang terus membuat terjahan melampau. 

Takut dengan maruah negara tercalar, pihak polis tempatan telah menjejaki pemilik senapang tersebut. Menyoal dan bertindak kasar dengan memukul dan menerajang lelaki yang menjual senapang itu bagi mendapatkan maklumat. Berbagai insiden berlaku dan akhir sekali, pembeli senapang dan anak-anaknya telah melarikan diri tetapi berjaya disekat dan berlakulah adegan tembak-menembak yang membawa kematian kepada kanak-kanak tersebut. Hanya berpunca dengan tembakan rambang tanpa niat untuk membunuh membawa kematian dan kehancuran kepada sebuah keluarga. Sayu sekali adegan ini kerana memperlihatkan perasaan kasih sayang, ketakutan, keberanian yang wujud dalam sebuah keluarga.

Akibat tembakan itu, pasangan barat itu tidak dapat pulang awal yang mana anak-anak mereka dijaga oleh seorang pembantu rumah berbangsa Mexico bekerja secara haram di Amerika. Pembantu rumah ingin pulang ke Mexico atas majlis perkahwinan anak lelaki tetapi bagaimana pula anak-anak majikannya. Terpaksa juga membawa anak-anak majikan walaupun menjadi kesalahan. Namun apakan daya tiada siapa yang boleh menjaga mereka. Terhimpit dalam situasi rayuan majikan dan kehendak keluarga. Setelah habis majlis, ketika pulang ke sempadan mereka telah disyaki cuba menculik kanak-kanak dan takut dengan keadaan tersebut beliau telah melepasi kawalan keselamatan dan menjadi buruan polis. Akhir sekali, mereka tertangkap dan pembantu itu disabitkan kesalahan menculik dan pendatang haram. Namun, majikan telah mengugurkan dakwaan dan pembantu itu kehilangan pekerjaan dan dihantar pulang ke Mexico walaupun telah menjadi pembantu rumah untuk beberapa lama sebelum itu. Itulah tuntutan dalam perjalanan mencari rezeki dan permintaan ehsan majikan yang telah menjerat diri. Pendatang haram menjadi masalah negara bagi pihak Amerika.

Manakala, pemberian senapang oleh pelancong Jepun juga berhadapan dengan krisis iaitu masalah dorongan ingin tahu anak perempuannya. Masalah perasaan terlalu ingin tahu bagaimanakah hubungan seks dilakukan.  Masalah dalaman keluarga. Anak perempuannya cuba mengoda lelaki atas perasaan dan keinginan seks. Berbagai peristiwa berlaku, akhir sekali, anak perempuan yang kematian ibunya akibat membunuh diri, telah menjalinkan hubungan sumbang mahram dengan bapanya. Itulah juga kekeliruan dan masalah penyakit sosial yang kian merebak dan bakal memberi padah.  

Melalui jalan cerita dan pemasalahan yang timbul, hanya dengan selaras senapang telah membawa persepsi sempit dan tersasar manusia dalam membuat pertimbangan. Ianya telah membawa kaitan peristiwa yang saling kena-mengena walaupun jauh kedudukan dan berlainan bangsa di serata dunia.

Cerita-cerita begini tentu tidak menarik perhatian ramai penonton kerana jalan ceritanya yang tidak memberi keseronokan jiwa dan perasaan. Tetapi mesej yang ingin disampaikan adalah realiti sebenar dunia tentang apa yang terjadi, perangai dan tingkahlaku manusia bila berhadapan dengan masalah, krisis dan desakan. Bagaimana manusia sewenang-wenang mengambil kesempatan, membuat andaian serta tidak melihat implikasinya sehingga memberi kekeliruaan yang nyata dan jelas.

Adakah penjalanan arus dunia berkehendakan manusia bertindak kejam, ganas dan tidak bernas. Terlalu emotional. Toleransi dan kompromi sudah semakin menyusut dalam pertimbangan pemikiran manusia. Adakah kini, dunia telah banyak mencipta lebih banyak sikap dan sifat manusia ke arah minda dan perasaan “kebinatangan”. Menyisih dan menghilangkan keharmonian dan kesejahteraan. Bangkitlah…Bersatulah….mungkinkah????

Tak Perlu Bawa Beg ke Sekolah?

July 13, 2008

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Itulah tajuk artikel dari sebuah akhbar (Harian Metro/9 Julai 2008 ) mengenai perkembangan dan kemajuan terkini teknologi  yang bakal menempuh corak pembelajaran masa hadapan murid-murid. Idea perlaksanaan ini, ingin direalisasikan oleh sebuah syarikat iaitu Paperless Homework Sdn Bhd (Paperless) dalam memperkenalkan sistem pembelajaran pintar dan efektif.

Ianya satu cabaran kepada kaedah pembelajaran tradisional vs moden. Menurut idea ini, ianya mampu menjimatkan masa, tidak perlu proses salin-menyalin, pengurangan penggunaan kertas, menyelamatkan alam sekitar, lebih interaktif, meningkatkan kreativiti dan sebagainya. Lebih menarik daripada itu, ianya amat mudah dan boleh digunakan walaupun seseorang itu tidak celik teknologi maklumat menerusi perisian yang telah dibangunkan iaitu “Age”. Bahkan, ianya juga boleh menangani masalah bagi sekolah yang kurang berkemampuan memiliki perkakasan komputer yang terkini terutama di luar bandar dengan ciri-ciri hebat yang ada di dalamnya.

Suatu jaminan yang menarik perhatian dan mampu untuk mengubah kaedah pembelajaran terkini. Perisian yang pintar dan efektif adalah kunci dan mesej yang ingin diketengah dan diterapkan. Adakah nanti murid-murid menjadi malas untuk mendekatkan diri kepada buku jika semua hanya diberikan dalam bentuk “softcopy“? Semua maklumat dalam bentuk perisian akan disimpan dalam bentuk pemacu USB. Bagaimana nanti jika diserang virus-virus dan sudah tentu peningkatan kos kawalan dan benteng. Adakah kaedah ini benar-benar telah diuji dan melihat dengan lebih menyeluruh dan terperinci aspek-aspek pembelajaran terdahulu yang membawa kejayaan terkini.

Pada pandangan diri, apabila sesuatu idea diperkenalkan adalah berpunca daripada masalah yang timbul iaitu rungutan ibubapa yang mengambil berat tentang jadual dan buku-buku yang terlalu banyak harus dibawa oleh murid-murid ke sekolah. Menjadi bebanan berat untuk membawa dan mengheret beg sekolah yang kadang-kadang tak sesuai dengan saiz badan dan juga takut nanti didenda serta dimarahi oleh guru sekolah jika tertinggal. Lantaran itu, timbullah idea sedemikian. Ianya bagaikan pencetus kepada idea yang selari dengan perkembangan teknologi terkini. Nampak canggih dan terkehadapan, tetapi ciri-ciri pembelajaran tradisional masih lagi perlu dan harus kekal kerana ada aspek-aspek penting yang memerlukan kertas sebagai bentuk atau bukti sesuatu infomasi pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan dan hasil tindakbalas daripada murid-murid. 

Keadah Paperless ini hanya boleh dilaksanakan untuk sesuatu perkara dalam beberapa matapelajaran. Buku dan kertas latihan harus kekal digunakan kerana ianya secara lazim telah dapat menambahkan ilmu dan menguji minda murid-murid dilayar kertas. Segalanya dalam bentuk pembelajaran yang melibatkan teknologi maklumat hanya sebagai maklumat tambahan dalam mendedahkan dan menyesuaikan diri murid-murid dalam bidang ini dengan aspek menarik seperti grafik, video dan audio untuk lebih celik IT yang pesat membangunkan.

Mungkin suatu hari nanti, di masa hadapan yang mana sememangnya keadaan telah mendesak manusia menerima perubahan ini dengan tanpa tapi lagi untuk sistem pembelajaran yang sedemikian. Dalam apa jua perubahan yang ingin dilakukan perlulah ada penerimaan secara menyeluruh bagi memastikan pelaksanaan tepat dan berkesan.